HUKUM seorang suami berpasangan atau bercinta dengan wanita lain tanpa sebarang hubungan sah adalah haram, kata penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus (UAI).
Menerusi perkongsian di laman TikTok @usop6625, UAI berkata, hubungan berpasangan yang dimaksudkannya itu termasuk keluar berdua ke sana sini serta berpimpin tangan.
"Kalau sudah tahap itu, hubungan itu haram walaupun lelaki itu dah kahwin dan boleh kahwin sampai empat orang," katanya.
Namun, katanya, sekiranya suami mahu berkenalan wanita itu dengan niat untuk mengahwininya, hukumnya adalah harus dari sudut syarak serta mengikut sunnah nabi.
Katanya, suami itu hanya boleh berkenalan sekadar bertanya khabar, tingkah laku serta mahu mengetahui sama ada wanita itu menunaikan solat.
"Cuma lelaki itu jangan hanya part itu (poligami) sahaja ikut sunnah, tetapi perangai tak baik.
"Jadi kadang-kadang ia akan melukakan hati isteri, sebab kalau kenal perempuan lain isteri ni banyak kali cemburu.
"Walaupun kadang-kadang suami buat benda itu harus pada syarak, tapi jadi perpecahan dalam rumah tangga," katanya.
Terdahulu, seorang wanita menerusi sebuah video berjaya menangkap suaminya yang hanya dikenali sebagai Hanafi yang berlaku curang dengan wanita lain di rumah sewa mereka sebelum dia diceraikan dengan lafaz talak satu.
Difahamkan, lelaki itu sudah lama menjalinkan hubungan dibelakangnya.
Perkongsian itu mendapat lebih 200,000 tontonan dan rata-rata netizen mengutuk tindakan si suami yang menjalinkan skandal di belakang isterinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram