Tuah beli-belah di Aman Central, ahli perniagaan menang Mitsubishi Xpander Crossover


  • Bizz
  • Ahad, 26 Dis 2021

ISWANDY (kiri) selepas menerima replika kunci kereta sambil disaksikan oleh Suraya (dua, kiri), Sonny (tiga, kiri) dan Grace (kanan) di Aman Central. — Sinar Harian

SEORANG ahli perniagaan tidak menyangka membawa pulang sebuah kereta mewah apabila muncul sebagai pemenang hadiah utama kempen Wonderful 5 Aman Central, Alor Setar Kedah.

Iswandy Ariffin, 41, terkejut sebaik membuka kotak misteri mengandungi belon istimewa yang menyaksikan beliau dinobatkan pemilik siri baharu tujuh tempat duduk, ‘Mitsubishi Xpander Crossover’.

Menurutnya, beliau berbelanja sebanyak RM1,400 untuk membeli sebuah telefon bimbit di pusat membeli-belah itu bagi melayakkan dirinya menyertai peraduan sempena ulang tahun ke-5 Aman Central.

“Saya perlu isi borang dan sertakan resit pembelian, namun tidak sangka pula menang hadiah utama. Saya ingatkan tidak berpeluang kerana saya dan lima individu lain tidak terpilih dalam cabutan bertuah, rupanya kami enam calon terakhir yang diberikan pilihan kotak misteri,” kata Iswandy pada Ahad.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, Tenaga Kedah, Datuk Suraya Yaacob.

Hadir sama, Pengarah Urusan Belleview Group, Datuk Sonny Ho dan Pengarah Belleview Group, Grace Ho.

Dalam pada itu, Pengurus Kanan Komunikasi Pemasaran Aman Central, Ken Chin berkata, kempen yang bermula pada 30 Oktober 2020 hingga 28 Februari lalu dilanjutkan sehingga April bagi membolehkan lebih ramai pengunjung berpeluang menyertai peraduan.

“Untuk sertai cabutan bertuah ini, pembeli perlu berbelanja RM300 ke atas dalam dua resit gabungan. Kami bersama rakan strategik mengadakan cabutan awal 80 penyertaan secara rawak daripada borang yang dikumpul.

“Disebabkan penutupan berterusan operasi sepanjang tempoh kempen, Aman Central melanjutkan peraduan agar pembeli dapat peluang membeli-belah dan penyewa beroleh jualan lebih tinggi,” katanya.

Menurutnya, selain hadiah utama tajaan JM Auto (Alor Setar) Sdn Bhd dan Auto Gallery Cartrade, 79 hadiah saguhati merupakan Face Shop Beauty, beg tangan Obermain, produk Laneige Beauty, beg tangan Hush Puppies, Innisfree Beauty, pas percubaan Peak Fitness, baucar tunai RM200 HLA, produk kesihatan Himalaya, Texas Chicken serta EcoBrown's.

Ken Chin berkata, walaupun negara berdepan fasa pandemik Covid-19, jumlah perbelanjaan dicatatkan hampir mencecah RM8 juta.

“Kami menjalankan pelbagai aktiviti bagi menarik pengunjung untuk membantu penyewa selaraskan aktiviti jualan dan promosi. Kehadiran pembeli kembali meningkat sejak Oktober. Pada Disember pula, bilangan pembeli mengatasi jumlah keseluruhan Disember tahun lalu dan hampir 78 peratus menyamai jumlah pembeli pada Disember 2019,” katanya.

Menurutnya, Aman Central akan menawarkan pelbagai kempen, penebusan dan peraduan lebih menarik pada tahun depan.

“Antaranya, Peraduan Perbelanjaan Terbanyak Jualan AC Mega di mana 10 teratas yang berbelanja paling banyak berpeluang memenangi hadiah sehingga RM8,000 termasuk tablet, telefon pintar, fon telinga, robot vakum, pembersih vakum, jam kecergasan serta bar emas,” katanya.— Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram