Haram hukumnya jika tak maklum harga sebenar barangan lebih awal


  • Mukmin
  • Rabu, 17 Nov 2021

KEDUA-DUA penjual dan pembeli perlu membuat perjanjian awal dan bersetuju dengan harga barangan yang dijual. —The Star

PERBUATAN penjual atau peniaga yang tidak memaklumkan harga sebenar barangan terlebih awal disifatkan sebagai zalim kepada pembeli, kata Dr Mohd Ashraf Suarin.

Pendakwah bebas itu menjelaskan, hal ini kerana penjual tersebut melanggar akad dalam urusan jual beli, yang memerlukan pemakluman awal mengenai harga barangan.

"Kalau benda (harga barangan) itu secara tersembunyi dia tak maklum, tiba-tiba jadi mahal, itu jadi zalim dan hukumnya berdosa dan haram.

"Kalau dia cakap awal, sebagai contoh, ikan ni mahal (namun tidak cakap harga sebenar) tetapi dia (pembeli) nak juga, tetap jadi dosa.

"Sekiranya pembeli dah makan, maka itu sudah jadi hak dia," katanya kepada Majoriti.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Makan Tengahari bersama radio Zayan di Seri Kembangan, Selangor pada Selasa.

0ae51a62-897e-4e45-97ff-1600a54f5ced

Mohd Ashraf ketika ditemui di Seri Kembangan pada Selasa.

Dalam situasi lain, Mohd Ashraf berkata, kedua-dua pembeli dan penjual perlu membuat perjanjian awal atau persetujuan bersama mengenai harga barangan yang dijual.

Katanya, pembeli tidak dibenarkan untuk tidak reda dengan harga barangan yang dibeli, sekiranya dia telah bersetuju dengan perjanjian awal.

"Contoh (pembeli) dah makan, jangan cakap tak boleh (tidak reda). Ini akan jadi zalim kepada penjual pula," jelasnya.

Terdahulu, tular di Facebook mengenai perkongsian seorang wanita yang mendakwa 'terkena' apabila harga ikan siakap dipesannya di sebuah restoran di Langkawi begitu mahal.

Menerusi perkongsian Lyza Saat, dia terpaksa membayar bil berjumlah RM1,738, yang mana harga bagi seekor ikan siakap sahaja sudah mencecah RM846.40. Manakala harga ikan siakap merah pula RM305.80.

Lyza mendedahkan, dia sudah dimaklumkan bahawa ikan yang dipesannya agak besar. Menjangkakan ikan tersebut mungkin seberat 2 kilogram seperti di kedai tom yam lain, dia bagaimanapun terkejut sebaik sahaja ikan itu dihidangkan di meja mereka.

Katanya, pemilik kedai tidak memaklumkan bahawa ikan tersebut adalah ikan pameran.

“Kes kami berbeza sikit dari kes yang tular tempoh hari. Memang dia (owner) tiada maklumkan langsung yang ikan tu adalah ikan pameran yang boleh buat sarkis. Dia cuma cakap ikan tu besar.

“Aku memang tanya harga, dia ckp RM18 per 100 gram.So, aku bajet boleh pergi RM600 hingga RM800, tapi dia tak cakap pulak ikan yang nak kasi kita orang tu dekat 5 kilogram. Faham? ” katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram