Haram beri sedekah kepada pengemis malas bekerja


  • Mukmin
  • Isnin, 08 Nov 2021

MUI Sulawesi Indonesia baru-baru ini mengeluarkan fatwa bahawa haram hukumnya sekiranya memberi wang kepada pengemis di jalanan. —Gambar hiasan

TINDAKAN memberi wang kepada individu yang sihat dari segi jasmani dan rohani adalah perbuatan yang mengandungi unsur eksploitasi, kata Amirsyah Tambunan.

Setiausaha Agung Majlis Ulama Indonesia (MUI) berkata, eksploitasi manusia sama sekali dilarang kerana mendatangkan kemudaratan.

"Mengeksploitasi itu haram. Perkara itu adalah berlainan dengan mereka yang benar-benar memerlukan makanan kerana fakir dan miskin.

"Hukum memberi sedekah kepada pengemis menjadi haram sekiranya kita mengetahui bahawa mereka malas bekerja," katanya.

Sementara itu, jelasnya, hukum seorang pengemis yang mempunyai tubuh badan sempurna dan meminta wang di tempat awam boleh menjadi makruh sekiranya perkara itu memudaratkannya.

Katanya, makruh boleh ditafsirkan sebagai perbuatan yang lebih baik ditinggalkan daripada dilaksanakan.

"Makruh jika orang berkenaan (pengemis) meminta wang di tempat awam yang boleh membahayakannya," kata Amirsyah.

Terdahulu, MUI Sulawesi Indonesia baru-baru ini mengeluarkan fatwa yang mengatakan hukum memberi wang kepada pengemis di jalanan adalah haram.

Ia adalah berdasarkan tafsiran undang-undang dan ajaran Islam. Menurut majlis itu, pemberian wang kepada pengemis hanya membuatkan serta membolehkan mereka terus mengemis.

“Pemberian wang kepada pengemis jalanan menyokong tindakan mereka dan pada masa yang sama gagal untuk mendidik kumpulan itu untuk membina akhlak yang baik,” kata Setiausaha Agung MUI Sulawesi Selatan, Muammar Bakri.

Beliau menambah, perbuatan itu adalah satu dosa kepada pemberi dan juga penerima.

Terdapat banyak laporan mengenai sindiket yang mengambil bahagian daripada wang yang diberikan kepada pengemis jalanan, termasuk kanak-kanak di Indonesia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

pengemis, sedekah, MUI