Dosa, kelemahan antara halangan doa dimakbulkan


  • Mukmin
  • Sabtu, 13 Nov 2021

BOLEH jadi dengan makbulnya doa kita boleh membawa diri kita ke arah keburukan dan dosa yang lebih besar atau menjauhkan kita dari ketaatan kepada ALLAH SWT. —Gambar hiasan

DOA merupakan ujian bagi setiap orang mukmin yang memerlukan kesabaran tinggi. Tanda-tanda doa menjadi mustajab adakalanya lambat atau tidak sehingga boleh menimbulkan was-was atau kegelinciran iman, kata Dr Kamilin Jamilin.

Pensyarah di Fakulti Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), ubat bagi penyakit was-was berkaitan doa adalah dengan beriman kepada ALLAH SWT sebagai Tuhan Yang Maha Berkuasa dalam melakukan apa sahaja yang dikehendakiNya tanpa dipersoalkan segala ketentuanNya.

Selain itu, beliau menyarankan umat Islam supaya beriman dengan ALLAH SWT sebagai Tuhan Yang Maha Mengetahui.

"Tiada apapun yang tersembunyi dari ilmuNya yang meliputi segala perkara, sedangkan pengetahuan kita sebagai makhluk pula sangat terbatas.

"Dia Maha Mengetahui segala baik-buruk dalam permintaan hambaNya dan Dialah Yang Maha Bijaksana dalam segala aturan.

"Boleh jadi dengan makbulnya doa kita boleh membawa diri kita ke arah keburukan dan dosa yang lebih besar atau menjauhkan kita dari ketaatan," katanya menerusi perkongsian di laman Facebook.

Kamilin berkata, barangkali dosa atau kelemahan manusia yang menghalang doa dari dimakbulkan seperti sumber pendapatan yang meragukan atau haram, berinteraksi dengan riba, hati yang lalai ketika berdoa atau hanya mencari ALLAH SWT ketika susah.

Beliau turut mencadangkan umat Islam supaya tidak tergesa-gesa memaksa tuhan memakbulkan doa mereka kerana sikap tersebut menghalang doa daripada dimakbulkanNya.

"Bersangka baik dengan ALLAH dalam setiap perkara, kerana Dia menurut apa yang disangkakan oleh hamba kepadaNya.

"Akhir kata, mantapkan iman dan eratkan hubungan dengan Allah SWT. Perbaiki kekurangan diri, bersabar dan bersangka baik dengan Allah SWT merupakan kunci mendapat doa yang makbul," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

doa, makbul, dosa, Dr Kamilin Jamilin