SELEPAS isu penjualan ikan siakap yang terlalu mahal, ramai yang inginkan peniaga tersebut dikenakan tindakan.
Tetapi tahukah anda, jika pelanggan yang merasakan diri mereka dianiaya peniaga dan membawa kes tersebut ke mahkamah, mereka tetap akan mengalami kerugian.
Peguam, Datuk Mohd Azwan Mohd Roslee berkata, jika pelanggan mahu mengambil tindakan terhadap peniaga, mereka perlu membayar kos guaman yang tinggi.
"Macam contoh isu siakap ini, kalau dia bawa ke mahkamah sekalipun, kos bayaran guamannya akan berkali ganda lebih mahal.
"Kecuali jika pelanggan itu memang tidak berkira soal wang, maka mereka boleh membawa kes tersebut ke mahkamah untuk memberi peniaga itu pengajaran," katanya kepada Majoriti.
Menurut Mohd Azwan, apa yang perlu dilakukan oleh pelanggan sebenarnya adalah sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga jika terdapat kemusykilan berkenaan dengan harga.
Jelasnya, harga seperti ikan siakap ini tidak tetap kerana bukan sebahagian daripada barangan kawalan.
"Jadi mahu atau tidak, memang kena ambil gambar berapa berat ikan itu, pastikan ikan yang betul-betul akan dimasak dan semak harga dengan peniaga.
"Hanya itu sahaja bukti yang boleh digunakan sebagai hujah untuk mengelak daripada diperdaya peniaga yang cuba mengambil untung berganda," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Azwan juga berharap supaya kementerian dan agensi berkaitan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya berkenaan dengan isu ini.
Tambahnya, diharapkan ada peraturan baharu yang berkenaan dengan kawalan harga supaya tidak ada peniaga yang cuba mengambil kesempatan terhadap pelanggan dengan bermacam alasan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram