KEINGINAN untuk tidur berpelukan seperti pasangan lain terpaksa dipendam apabila seorang isteri mendedahkan rasa tidak selesa tidur bersama suaminya akibat bau air liur basi yang berlarutan sejak 13 tahun perkahwinan.
Menurut wanita itu dalam hantarannya di Threads, sepanjang perkahwinan dia sering memberi alasan anak kecil untuk mengelak tidur sebantal dengan suami.
Namun kini, apabila anak-anak sudah membesar, suaminya mula meminta agar mereka kembali tidur bersama.
BACA LAGI: Vaksin warga emas bukan sekadar cegah penyakit, lindungi jantung dan minda
"Kalau tidur pun, saya akan membelakangkan dia. Bau bantal dia buat saya rasa loya.
"Pernah teringin nak peluk suami macam orang lain, tapi bila terhidu bau itu terus hilang rasa," katanya.
Isteri berkenaan menambah, dia sudah berulang kali menegur suami mengenai masalah tersebut, termasuk menyarankan agar menjaga kebersihan mulut dan menukar sarung bantal dengan lebih kerap, namun suaminya seolah-olah tidak mengambil peduli.
Keadaan itu membuatkan dia berada dalam dilema antara keperluan emosi sebagai isteri dan rasa tidak selesa yang berpanjangan setiap kali waktu tidur.
Reaksi warga maya pula tidak kurang pelbagai.
Ramai mencadangkan langkah praktikal untuk mengatasi masalah bau air liur, termasuk membuat pemeriksaan kesihatan, kerap menukar sarung bantal, melakukan scaling gigi secara berkala, serta memberus gigi sebelum tidur. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
