'Gaji ciput pun tak apa', wanita selesa pilih kerja mudah, senang urus anak sakit, hal sekolah


  • Bonda
  • Isnin, 26 Jan 2026

Sebahagian ibu memilih kerja yang lebih santai demi mengekalkan ketenangan diri dan memberi perhatian penuh kepada anak-anak walaupun gaji tidak tinggi. — Gambar hiasan/Janaan AI

MEMILIH kerjaya lazimnya melibatkan soal gaji dan peluang kenaikan pangkat.

Namun bagi seorang wanita, keputusan untuk memilih kerja mudah walau gaji ‘ciput’ adalah demi menjaga ketenangan diri serta memberi perhatian penuh kepada keluarga.

Wanita itu, @shazuani_, berkongsi bahawa sebagai seorang ibu dan isteri, tekanan harian seperti menjaga anak yang sakit, menghantar mereka ke sekolah dan mengurus rumah membuatkan dia memilih kerja yang lebih santai.

BACA LAGI: Intan Najuwa 'unboxing' perkakas dapur, warga maya teruja, siap 'selidik' harga 1 teko cecah lebih RM1,000

BACA LAGI: Evolusi kediaman 2026, antara sentuhan klasik dan seni pencahayaan

Menurutnya, kerjaya yang menuntut bukan sahaja memerlukan tenaga fizikal dan mental, malah menimbulkan tekanan emosi yang sukar diurus apabila bergelar ibu.

"Salah ke kalau tak nak kembangkan kerjaya dan gaji? Saya cuma nak lindungi ketenangan saya.

"Kerja yang mudah dan senang, ulang-alik, urus anak yang sakit atau ke sekolah," ujarnya.

Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi daripada warga maya, khususnya golongan ibu yang memahami keputusannya.

Ramai bersetuju bahawa gaji bukanlah segalanya apabila kehidupan menjadi terlalu tertekan.

"Gaji ciput pun tak apa. Asalkan pergi kerja tak jem, dekat dengan rumah, senang cuti dan tak stres sangat," komen @aishakamal_.

"Selepas ada anak, saya lebih suka kerja dekat yang senang urus keluarga walaupun kerjaya tak berkembang macam dulu," kata @ida_amir.

"Bagi saya, menjaga anak istimewa adalah keutamaan. Saya biarkan suami yang kejar kerjaya lebih menuntut supaya saya ada masa untuk anak," tambah @tg.arina yang mempunyai pengalaman menjaga anak berkeperluan khas.

Tidak kurang juga yang menasihati supaya menghargai pencapaian diri sendiri tanpa membandingkan dengan orang lain.

"Buat apa nak bandingkan diri dengan orang lain. Ada duit sendiri, boleh urus anak sendiri, itu dah kira bertuah.

"Kadang-kadang hidup kita adalah impian orang lain," ujar @miss.nah27. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram