PERKAHWINAN melibatkan pasangan daripada latar budaya dan negara berbeza sering dianggap mencabar, namun bagi segelintir wanita di Malaysia, pengalaman itu menjadi satu perjalanan bermakna yang memperkayakan kehidupan rumah tangga.
Menerusi satu perkongsian di Threads, seorang pengguna bertanya tentang pengalaman manis berkahwin dengan warga asing.
Hantaran tersebut menerima pelbagai respon positif yang menggambarkan sisi indah perkahwinan beza budaya.
Seorang wanita berkongsi pengalamannya berkahwin dengan lelaki berketurunan Afrika Perancis yang disifatkan sebagai suami bertanggungjawab dan penyayang.
"Suami saya menyediakan nafkah sepenuhnya. Setiap kali saya sakit, dia sanggup bekerja dari rumah semata-mata untuk menjaga saya.
Pada hujung minggu pula, dia akan memasak, terutama sarapan" kongsi @puterijamirah sambil menambah, kerja rumah juga diuruskan tanpa perlu diminta.
Tambahnya, suaminya menjaga solat, tidak merokok, tidak melepak dan sentiasa memastikan dirinya dilindungi serta dihargai.
Bagi @madame_silla pula, aspek keselamatan dan sokongan emosi menjadi kelebihan utama perkahwinannya.
"Walaupun kami sama-sama Muslim, perbezaan mazhab dan budaya membuatkan kami saling belajar.
"Keluarga mentua juga sangat baik dan menerima saya dengan terbuka,” ujarnya.
Walaupun tidak fasih bahasa keluarga suami, beliau menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk berkomunikasi selain bersyukur kerana tidak pernah dilayan seperti orang luar.
Sementara itu, @faranurbl turut menekankan soal keselamatan dan kesetiaan sebagai kelebihan terbesar perkahwinannya.
"Bagi saya, perkara paling penting ialah rasa selamat dan terjamin. Suami saya seorang yang setia, tidak keluar malam dan jika keluar pun hanya untuk aktiviti berfaedah bersama rakan Muslim seperti halaqah atau bersenam,"katanya.
Seorang lagi wanita, @skoberoses yang berkahwin dengan lelaki Algeria dan pernah menetap di negara itu selama beberapa bulan berkata, antara perkara paling menarik baginya ialah pengalaman menikmati kepelbagaian makanan tempatan.
"Selain dapat meneroka negara yang luas, saya sangat jatuh cinta dengan makanan mereka. Pengalaman hidup di sana benar-benar membuka mata,” katanya.
Menurutnya, suaminya juga seorang yang berpengetahuan luas tentang politik dunia dan Islam, sekali gus menjadikan perbualan harian mereka lebih bermakna dan berisi.
Dari perspektif anak pula, seorang wanita berkongsi kenangan dibesarkan oleh bapa warga asing yang penuh kelembutan dan kasih sayang.
"Walaupun marah, ayah tidak pernah meninggikan suara. Hidup kami penuh dengan ucapan terima kasih, pujian dan kasih sayang.
Ibu saya adalah wanita paling bahagia," kata @johannahsarah82 menambah, kedua-dua orang tuanya itu sudahpun meninggal dunia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
