Air cucian beras baik untuk kecantikan? Ini penjelasan pakar dermatologi, individu kulit wajah sensitif jangan skip


  • Gaya
  • Rabu, 28 Jan 2026

Air cucian beras didakwa mampu membantu mencerahkan kulit wajah.

AIR cucian beras yang selama ini dibuang ke singki kini menjadi rahsia kecantikan bagi segelintir individu, apabila ia didakwa mampu membantu mencerahkan kulit, melicinkan wajah serta melambatkan tanda penuaan.

Amalan tradisional ini kembali tular di media sosial, dengan ramai pengguna berkongsi pengalaman menggunakan air beras sebagai rutin penjagaan wajah dan rambut.

Antara perkongsian mencuri perhatian adalah saranan agar air cucian beras tidak dibuang, sebaliknya disimpan dan digunakan untuk mencuci muka atau membilas rambut.

BACA LAGI: Niat nak kurus amal diet karnivor, pempengaruh usia 23 tahun alami masalah buah pinggang serius

BACA LAGI: Konon tanda prihatin, jururawat digantung tugas gara-gara benarkan teman lelaki urus ubat, laporan pesakit

Malah, ada yang mendakwa amalan tersebut memberikan kesan ketara dalam jangka panjang.

“Ibu saya rajin menggunakan endapan air beras sebagai masker. Umurnya hampir 60 tahun, tetapi kulitnya masih halus, bersih dan cerah walaupun penjagaan kulitnya sangat ringkas,” kata seorang pengguna media sosial.

Air cucian beras perlu disimpan dalam bekas bersih bagi mengelakkan pencemaran bakteria.

Namun, sejauh mana kebenaran dakwaan ini dari sudut perubatan?

Menurut pakar dermatologi, Dr I Gusti Nyoman Darmaputra, air cucian beras sememangnya mengandungi beberapa komponen yang berpotensi memberi manfaat kepada kulit.

“Air beras mengandungi inositol, antioksidan serta beberapa vitamin yang boleh membantu menyokong kesihatan kulit,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kesan tersebut tidak boleh dilihat secara terasing.

“Kesihatan kulit dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk rutin penjagaan yang betul dan gaya hidup sihat. Air beras tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian utama,” jelasnya.

Aspek kebersihan perlu dititikberatkan

Bagi individu yang ingin mencuba mencuci muka menggunakan air beras, aspek kebersihan tidak boleh diabaikan.

Air cucian beras pertama lazimnya masih mengandungi kotoran dan sisa daripada proses pengilangan.

“Cucian kedua atau ketiga lebih bersih, namun masih kaya dengan pati dan nutrisi. Oleh itu, air daripada cucian ini lebih sesuai digunakan,” katanya.

Selain itu, bekas penyimpanan mestilah bersih dan kering bagi mengelakkan pencemaran kulat atau bakteria.

Air beras disarankan disimpan di dalam peti sejuk, menggunakan bekas bertutup rapat dan digunakan dalam tempoh maksimum satu hingga dua hari.

Sekiranya air beras mengeluarkan bau masam atau menunjukkan tanda fermentasi, ia tidak lagi selamat digunakan.

Pemilihan beras organik juga dianggap lebih baik kerana berisiko rendah mengandungi sisa racun perosak.

Tidak sesuai untuk semua jenis kulit

Walaupun berasaskan bahan semula jadi, air beras tidak sesuai untuk semua orang.

Individu yang mempunyai kulit sensitif atau masalah jerawat disarankan agar berhati-hati.

“Perkara paling penting ialah memastikan keselamatan kulit. Dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu bagi memastikan ia sesuai dengan keadaan kulit masing-masing,” tegas Dr. Darmaputra. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram