'Tak pernah meminta, tapi sentiasa dicari', wanita kongsi ibu mentua selalu ambil berat selepas kematian suami


  • Bonda
  • Selasa, 27 Jan 2026

Meskipun selepas kematian suami, ibu mentua tetap mengambil berat terhadap menantunya. — Gambar hiasan/Janaan AI

TIADA seorang pun menantu yang sangka, selepas kehilangan suami, dia bukan sahaja terus menerima sokongan, malah sering “dicari” ibu mentua.

Setiap panggilan, pertanyaan tentang anak-anak dan perhatian kecil yang diberikan menjadi pengubat hati di kala sepi.

Bagi @anom.abubakar, kasih sayang mertua melebihi jangkaan, bahkan tanpa perlu diminta.

BACA LAGI: Jualan koleksi pakaian peribadi Cyndi Lauper jadi rebutan peminat

BACA LAGI: Intan Najuwa 'unboxing' perkakas dapur, warga maya teruja, siap 'selidik' harga 1 teko cecah lebih RM1,000

Menurut hantaran yang dikongsi di media sosial, wanita tersebut menceritakan bagaimana ibu mentuanya sering menghubungi dan mengambil berat tentang urusan harian serta perkembangan anak-anaknya.

"Ibu mentua saya hubungi berkali-kali, tanya hal sekolah anak-anak dan keadaan saya.

"Lepas itu dia suruh datang keesokan harinya sebab nak bagi duit.

"Sejak arwah anaknya meninggal, saya tak pernah minta, mereka yang selalu hubungi saya," kongsinya dalam hantaran yang dibuat pada Isnin.

Wanita tersebut juga terkejut apabila ibu mentuanya turut mengambil berat soal peribadi yang lebih sensitif.

"Dia menanyakan sama ada saya sudah mempunyai teman lelaki dan saya memberitahu belum ada.

"Kemudian dia kata, jika ada, beritahu dia supaya boleh menilainya," ujarnya lagi.

Wanita itu berkata, ibu mentuanya memahami keadaannya sebagai wanita muda yang masih dalam proses menyesuaikan diri.

Mereka berbual secara santai dan ibu mentuanya turut bergurau tentang membahagikan harta kepada anak-anaknya pada masa akan datang.

"Ibu mentua saya faham saya masih muda. Dia sempat bergurau, kata jika saya berkahwin, semua bahagian miliknya akan diberikan kepada anak-anak saya, lalu kami gelak," katanya.

Hantaran itu menerima pelbagai reaksi positif daripada warga maya.

"Masya-ALLAH, gembira untuk awak. Dapat mertua yang faham agama dan ikhlas menyayangi awak.

Semoga kalian berdua dapat berkumpul bersama-sama di syurga nanti. Aamiin," komen @hanaamazlan.

"Sama macam bekas mak mentua saya. Walaupun sudah cerai, dia selalu hubungi untuk bertanya khabar. Kadang-kadang dia menangis rindu saat-saat dulu," kata @hawaajeralaaaaaaa.

"Semoga hubungan itu kekal baik sampai akhir hayat. Jaga juga mertua dengan baik seperti mak sendiri dan semoga nanti jadi mertua yang baik kepada menantu-menantu juga," ujar @aura_rizqie. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram