Ibu bapa adu beg sekolah anak terlalu berat, ada yang cadang gunaan buku teks digital, iPad untuk kurangkan bebanan murid


  • Bonda
  • Sabtu, 24 Jan 2026

Pelajar sekolah rendah bergelut dengan beg yang sarat dengan buku, menimbulkan kebimbangan ibu bapa tentang beban fizikal yang ditanggung murid setiap hari.

SESI persekolahan yang bermula sejak Januari kembali membuka isu lama yang belum bernoktah iaitu beg sekolah murid yang terlalu sarat dan membebankan, khususnya kepada pelajar sekolah rendah.

Kebimbangan itu tercetus selepas seorang pengguna Threads, Ceypul memuat naik gambar beg sekolah anaknya yang kelihatan penuh dengan buku sehingga menimbulkan persoalan tentang kesesuaian sistem pembelajaran sedia ada terhadap keupayaan fizikal murid yang masih kecil.

Dalam hantaran berkenaan, beliau meluahkan rasa gusar melihat anak-anak terpaksa memikul beg berat setiap hari.

“Penuh, padat dan beratnya macam nak masuk latihan komando.

"Tulang belakang mereka masih lembut, tapi beban yang dipikul seolah-olah tak pernah dikurangkan,” tulisnya.

BACA LAGI: Niat nak kurus amal diet karnivor, pempengaruh usia 23 tahun alami masalah buah pinggang serius

BACA LAGI: Konon tanda prihatin, jururawat digantung tugas gara-gara benarkan teman lelaki urus ubat, laporan pesakit

Hantaran itu pantas mencetuskan reaksi ramai ibu bapa yang berkongsi pengalaman sama, malah ada yang menyifatkan keadaan tersebut sebagai membebankan dan tidak lagi relevan dengan perkembangan pendidikan masa kini.

Antara cadangan yang paling banyak diutarakan ialah penggunaan buku teks digital sepenuhnya. Seorang pengguna, Artemis, ringkas mencadangkan penggunaan iPad sebagai alternatif kepada buku bercetak.

Pandangan itu disokong Along Waniey yang berpendapat kaedah pembelajaran digital bukan lagi sesuatu yang asing di negara lain.

“Negara lain dah lama guna buku teks digital. Kalau setiap kelas ada smart board, guru boleh buka buku teks digital dan kongsi kepada semua murid. Tak perlu lagi beg berat,” katanya.

Beberapa ibu bapa mencadangkan penggunaan buku teks digital dan kemudahan lokar di sekolah untuk mengurangkan beban murid. —  Gambar hiasan

Dalam masa sama, isu ini turut menyentuh emosi segelintir ibu bapa. Azza Emyra meluahkan rasa terkilan melihat anaknya yang bertubuh kecil terpaksa memikul beg berat, sedangkan ada murid lain dibantu membawa beg oleh guru.

“Anak saya kurus sangat. Kesian tengok dia pikul beg berat. Bila nampak cikgu tolong bawa beg anak sendiri, timbul persoalan… anak kami macam mana?” katanya.

Seorang lagi pengguna, Tommy Reysonds turut mempersoalkan kelewatan pelaksanaan sistem e-buku di sekolah.

Selain kritikan, terdapat juga ibu bapa yang berkongsi inisiatif sendiri bagi mengurangkan beban murid.

Izza Sudirman memaklumkan ibu bapa dan guru di sekolah anaknya bergotong-royong menyediakan lokar untuk simpanan buku.

“Semua buku nota dan latihan ditinggalkan di sekolah. Murid hanya bawa balik buku teks dan kerja rumah. Jauh lebih ringan,” jelasnya.

Isu sama turut dibangkitkan Aafzall yang mendedahkan berat beg anaknya mencecah 5.05 kilogram, ditambah pula keperluan menaiki tangga sehingga tingkat tiga setiap hari.

“Kesian anak-anak. Belum masuk bulan puasa lagi,” katanya.

Seorang lagi ibu, Liyana mencadangkan agar pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) lebih proaktif menyediakan kemudahan lokar sebagai langkah segera.

“Di sekolah anak saya, murid disediakan lokar untuk menyimpan buku aktiviti dan buku tulis. Semua buku berkenaan ditinggalkan di sekolah, kecuali buku teks. Cara ini lebih memudahkan dan murid tidak perlu membawa beg yang terlalu berat,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram