PENYANYI terkenal, Meghan Trainor dan suami, Daryl Sabara, 33, menyambut kelahiran anak perempuan mereka, Mikey Moon, melalui kaedah ibu tumpang (surrogate mother) pada Ahad.
Trainor, 32, mendedahkan bahawa surrogacy bukanlah pilihan pertama, tetapi selepas berbincang dengan doktor, ia menjadi cara paling selamat untuk menambah ahli keluarga mereka.
"Kami sangat bersyukur dengan pilihan ini," katanya dalam temu bual bersama People.
BACA LAGI: Niat nak kurus amal diet karnivor, pempengaruh usia 23 tahun alami masalah buah pinggang serius
Pasangan yang berkahwin pada 2018 itu juga mempunyai dua anak lelaki, Riley, 4, dan Barry, 2, kedua-duanya dilahirkan oleh Trainor.
Penyanyi tersebut menjelaskan bahawa kaedah ibu tumpang adalah cara lain yang indah untuk membina keluarga.
"Ia bukan sesuatu untuk disorok atau dihukum. Ia melibatkan kepercayaan, sains, kasih sayang, dan kerjasama. Setiap keluarga ada cara sendiri, dan semuanya sah dan wajar dihormati," jelasnya lanjut.
Beliau turut memuji ibu tumpang berkenaan yang identitinya dirahsiakan.
"Surrogat kami sangat mulia, kuat dan penyayang. Kami berasa sangat rapat dengannya sepanjang perjalanan ini dan akan sentiasa menghargai kasih sayang yang diberikan kepada anak kami," jelas Trainor.
Dalam satu hantaran di Instagram pada 20 Januari, Trainor mengumumkan kelahiran Mikey Moon dan berkongsi rasa terima kasih kepada surrogat dan pasukan perubatan.
"Anak perempuan kami, Mikey Moon Trainor, akhirnya selamat lahir dengan bantuan surrogat hebat kami. Kami amat berterima kasih kepada semua doktor, jururawat, dan pasukan yang menjayakan impian ini," tulisnya.
Beliau berkata, kedua-dua anak lelakinya teruja menyambut adik perempuan mereka dan turut memilih nama tengah Mikey Moon.
"Kami sangat gembira dan akan menikmati masa bersama keluarga," tambah Trainor.
Sebelum ini, Trainor pernah berkongsi pengalaman sukar semasa kelahiran anak sulung dan kedua, termasuk masalah pernafasan Riley yang memerlukan rawatan di NICU, serta cabaran mental dan fizikal selepas kelahiran Barry.
"Mempunyai anak memang sukar. Saya ingin ibu lain tahu mereka tidak bersendirian dan penting untuk minta sokongan bila perlu," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
