Jangan ambil ringan, perubahan cara jalan boleh jadi petanda gangguan otak pada usia muda


  • Sihat
  • Jumaat, 23 Jan 2026

Masalah keseimbangan dan koordinasi ketika berjalan sering dialami pesakit demensia pada peringkat awal tanpa disedari. — Gambar hiasan

SIAPA sangka, cara seseorang berjalan sebenarnya boleh menjadi petanda awal gangguan otak, terutamanya demensia. 

Gangguan kognitif ini bukan sahaja menyebabkan penurunan daya ingatan dan kemampuan berfikir, malah turut menjejaskan tingkah laku harian seseorang.

Walaupun demensia sering dikaitkan dengan proses penuaan, kajian terkini menunjukkan gejala penyakit ini boleh muncul lebih awal, termasuk pada usia 30-an. 

BACA LAGI: Niat nak kurus amal diet karnivor, pempengaruh usia 23 tahun alami masalah buah pinggang serius

BACA LAGI: Konon tanda prihatin, jururawat digantung tugas gara-gara benarkan teman lelaki urus ubat, laporan pesakit

Fenomena ini mendorong para penyelidik meneliti lebih lanjut faktor genetik dan gaya hidup yang mungkin mempengaruhi risiko demensia pada usia muda.

Menurut Dementia UK, gejala demensia pada peringkat awal boleh berbeza dengan jenis demensia lain dan memberi kesan kepada keperibadian, kesedaran ruang serta pergerakan tubuh. 

Tangan gemetar atau pergerakan kurang terkawal boleh menjadi gejala awal demensia atau parkinson. — Gambar hiasan

Beberapa perubahan fizikal boleh menjadi petanda awal penyakit ini termasuk perubahan gaya berjalan seperti langkah yang menyeret, kelajuan berjalan yang perlahan dan langkah yang lebih pendek daripada biasa. 

Gangguan keseimbangan juga lazim berlaku sehingga menyebabkan individu mudah jatuh atau tersandung. 

Selain itu, pergerakan menjadi kurang cekap, misalnya sering melanggar objek dan ada kalanya pergerakan tangan atau mata menjadi tidak terkawal.

Gejala seperti ini biasanya dikaitkan dengan penyakit parkinson atau demensia Lewy body. 

Namun, sesetengah pesakit juga menghadapi gangguan lain seperti kesukaran menilai jarak dan ruang, malah tidak mustahil berlaku halusinasi. 

Dalam banyak kes, kemampuan berbahasa turut terjejas. Pesakit mungkin bercakap secara terputus-putus, sukar mencari perkataan yang tepat, dan cenderung mengelak daripada berkomunikasi.

Kesedaran awal mengenai tanda-tanda ini amat penting. 

Jika terdapat perubahan dalam cara berjalan atau pergerakan harian, pemeriksaan doktor pakar perlu dilakukan secepat mungkin bagi memastikan rawatan dan pengurusan demensia dapat dilakukan dengan lebih berkesan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram