'Aku dosa silam mama, papa', status anak tak sah taraf terbongkar ketika urus borang nikah


  • Bonda
  • Khamis, 22 Jan 2026

SEPATUTNYA urusan pernikahan menjadi detik menggembirakan bagi pasangan yang bakal melangkah ke alam rumah tangga.

Namun bagi seorang wanita, proses melengkapkan borang nikah bertukar menjadi pengalaman yang mengganggu emosi apabila satu soalan pegawai agama membongkar rahsia yang tidak pernah diketahuinya sepanjang hidup.

Perkongsian wanita itu tular di media sosial selepas beliau mendedahkan bagaimana status kelahirannya terbongkar ketika hadir ke pejabat agama bersama bakal suami, kira-kira sebulan sebelum majlis perkahwinan mereka berlangsung.

BACA LAGI: Berjaya turun lebih 30kg, isteri pakai semula gaun kahwin lepas 36 tahun bina mahligai

BACA LAGI: Mampu pegang pensel, tak tantrum antara 'checklist' tentukan tahap siap siaga anak masuk darjah 1 umur 6 tahun

Menurutnya, keadaan menjadi janggal apabila pegawai agama meneliti tarikh pernikahan ibu bapanya dan tarikh kelahiran beliau sebelum bertanya sama ada dilahirkan tidak cukup bulan.

"Soalan itu membuatkan saya terkejut kerana saya sendiri tidak pernah menyedari atau mempertikaikan perkara berkenaan sebelum ini," katanya.

Pegawai agama berkenaan kemudiannya meminta wanita itu mendapatkan pengesahan daripada ibu bapanya dan membawa dokumen berkaitan sekiranya benar dilahirkan tidak cukup bulan.

Selepas pulang ke rumah, beliau mendapatkan penjelasan daripada bapa yang akhirnya mengakui kesilapan masa silam.

"Papa minta maaf dan cakap apa pun yang berlaku, saya tetap anak dia," katanya.

Bagaimanapun, menurut wanita itu, ibunya memilih untuk berdiam diri tanpa memberikan sebarang penjelasan sehingga kini.

Katanya, pendedahan status berkenaan memberi kesan mendalam terhadap kehidupan peribadi dan emosi termasuk keyakinan diri menjelang perkahwinan.

Beliau turut memaklumkan telah meminta bakal suami berterus terang dengan keluarga mentua mengenai perkara tersebut memandangkan latar belakang mereka berpendidikan dan lebih berada berbanding keluarganya sendiri.

"Walaupun mereka terima, perasaan rendah diri itu masih menghantui saya sampai sekarang," kongsinya.

Ujian berterusan selepas beliau hamil sejurus selepas berkahwin apabila kandungannya turut dipersoalkan oleh pihak mentua.

Menurutnya, soalan berkaitan tempoh kehamilan sering diajukan sehingga membuatkan berasa terhina.

"Seolah-olah status anak dalam kandungan saya dipertikaikan," katanya.

Namun, selepas kelahiran anak yang mempunyai raut wajah seiras suami, persoalan tersebut mula reda.

Wanita itu turut berkongsi pengalaman sukar ketika tempoh berpantang apabila beliau yang baru menjalani pembedahan caesarean dibiarkan menguruskan diri dan bayi seorang diri akibat salah faham keluarga.

Tekanan emosi berpanjangan menyebabkannya mengalami simptom baby blues tanpa disedari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram