Mampu pegang pensel, tak tantrum antara 'checklist' tentukan tahap siap siaga anak masuk darjah 1 umur 6 tahun


  • Bonda
  • Rabu, 21 Jan 2026

Penting untuk ibu bapa menilai tahap kesiapsiagaan anak secara menyeluruh, bukan hanya berdasarkan akademik. — Gambar hiasan/Janaan AI

KEPUTUSAN menghantar anak ke darjah 1 bukan lagi sekadar pilihan, sebaliknya menjadi keperluan yang perlu difikirkan lebih awal susulan pelaksanaan pembelajaran murid tahun 1 seawal usia enam tahun.

Perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 yang menyaksikan perubahan ketara dalam struktur pendidikan negara.

Dalam situasi ini, ibu bapa disaran menilai tahap kesiapsiagaan anak secara menyeluruh, bukan hanya berdasarkan pencapaian akademik, tetapi turut merangkumi aspek emosi, sosial dan kebolehan berdikari.

BACA LAGI: Pesakit kanser hasilkan buku kanak-kanak, jadi 'peneman' buat si kecil hidap sakit kronik

BACA LAGI: Berjaya turun lebih 30kg, isteri pakai semula gaun kahwin lepas 36 tahun bina mahligai

Berikut merupakan checklist (senarai semak) dikongsikan Pakar Pediatrik dan Kesihatan Kanak-Kanak, Dr. Nisa Khalil menerusi akaun Threadsnya sebagai panduan asas sebelum anak melangkah ke alam sekolah rendah.

1. Kognitif: Boleh belajar dan fokus?

Kesiapsiagaan kognitif merujuk kepada keupayaan anak memahami arahan, mengekalkan fokus serta menunjukkan minat untuk belajar.

Antara tanda positif termasuk:

  • Boleh mengikut arahan dua hingga tiga langkah.
  • Mampu fokus pada satu aktiviti selama 15 hingga 20 minit.
  • Mengenal huruf A hingga Z, nombor 1 hingga 10 dan warna asas.
  • Boleh memegang pensel dengan betul.
  • Mempunyai sifat ingin tahu dan kerap bertanya soalan.

Lebih banyak kriteria dipenuhi, lebih baik tahap kesiapsiagaan akademik anak.

2. Emosi dan sosial: Boleh kawal perasaan?

Aspek emosi dan sosial amat penting dalam membantu anak menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah yang lebih berstruktur.

Antara petunjuk anak bersedia:

  • Boleh berpisah dengan ibu bapa tanpa tantrum berpanjangan.
  • Boleh bermain dengan rakan, berkongsi dan menunggu giliran.
  • Mampu meluahkan perasaan menggunakan kata-kata.
  • Tidak mudah berputus asa apabila berdepan kekecewaan kecil.
  • Boleh mematuhi peraturan mudah.

Kemahiran ini memerlukan masa untuk dibentuk dan tidak boleh dipercepatkan.

3. Fizikal dan kendiri: Boleh berdikari?

Sekolah rendah menuntut tahap kebergantungan yang lebih rendah terhadap guru, justeru keupayaan berdikari menjadi keperluan asas.

Antara perkara penting:

  • Boleh pergi ke tandas sendiri sepenuhnya.
  • Makan tanpa bantuan berlebihan.
  • Memakai dan membuka kasut sendiri.
  • Menjaga barang peribadi seperti beg dan botol air.
  • Mempunyai stamina untuk duduk dan belajar selama tiga hingga empat jam.

Walaupun kelihatan asas, kelemahan dalam aspek ini boleh menjejaskan rutin harian anak di sekolah.

4. Komunikasi: Boleh nyatakan keperluan?

Keupayaan berkomunikasi membantu anak memahami pembelajaran dan mendapatkan bantuan apabila diperlukan.

Tanda anak mempunyai kemahiran komunikasi yang baik:

  • Bercakap dalam ayat penuh.
  • Boleh menceritakan semula peristiwa yang berlaku.
  • Berani bertanya apabila tidak faham.
  • Mampu menjawab soalan orang dewasa.
  • Memahami arahan dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris

Jika anak masih sukar menyampaikan keperluan asas, ia mungkin petanda anak memerlukan masa tambahan sebelum memasuki Tahun 1.

Checklist yang dikongsikan Dr. Nisa Khalil ini merangkumi keseluruhan 20 kriteria merentas aspek kognitif, emosi, sosial, fizikal dan komunikasi.

Sekiranya anak memenuhi antara 15 hingga 20 kriteria, mereka berkemungkinan besar sudah bersedia untuk memasuki Darjah 1.

Bagi anak yang memenuhi sekitar 10 hingga 14 kriteria pula, mereka dianggap hampir bersedia dan ibu bapa boleh menggunakan tempoh setahun tersebut untuk membuat persediaan secara berperingkat.

Namun, jika kurang daripada 10 kriteria dipenuhi, ibu bapa disaran mempertimbangkan untuk memberi anak masa tambahan sebelum melangkah ke alam sekolah rendah.

Bagaimanapun, penilaian ini hanyalah panduan awal dan bukan diagnosis mutlak. Pemerhatian ibu bapa terhadap perkembangan anak kekal sebagai faktor paling penting dalam membuat keputusan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram