KEPERCAYAAN terhadap petua tradisional hampir meragut nyawa seorang wanita berusia 50 tahun di timur China apabila dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas menelan pundi hempedu ikan mentah kononnya untuk merawat sakit kepala kronik.
Wanita dikenali sebagai Liu itu mempercayai mitos perubatan tradisional yang mendakwa hempedu ikan mentah mampu membersihkan haba dalam badan, menyingkirkan toksin serta melegakan migrain.
Namun, apa yang diharapkannya sebagai penawar bertukar menjadi mimpi ngeri mengancam nyawa.
BACA LAGI: Niat nak kurus amal diet karnivor, pempengaruh usia 23 tahun alami masalah buah pinggang serius
Menurut laporan South China Morning Post (SCMP), pada pagi Rabu lalu, Liu membeli seekor ikan kap rumput seberat 2.5 kilogram di pasar.
Setibanya di rumah, dia mengeluarkan pundi hempedu ikan tersebut dan terus menelannya dalam keadaan mentah.
Tidak sampai dua jam kemudian, Liu mula mengalami muntah-muntah, cirit-birit serta sakit perut yang teruk.
Keadaannya yang semakin kritikal menyebabkan ahli keluarga segera membawanya ke hospital dan disahkan mengalami keracunan hempedu ikan dan kegagalan hati akut.
Lebih toksik daripada arsenik
Keadaan Liu dilaporkan amat serius sehingga memerlukan rawatan intensif, termasuk terapi pertukaran plasma dan penulenan darah secara berterusan di ICU Hospital Gabungan Universiti Jiangsu.
Doktor yang merawatnya, Dr. Hu Zhenkui memberi amaran keras kepada orang ramai mengenai bahaya amalan tersebut, dengan menyifatkan hempedu ikan sebagai sesuatu yang lebih toksik daripada arsenik.
“Walaupun hanya beberapa gram, ia sudah cukup untuk meracuni seseorang. Hempedu daripada ikan seberat lima kilogram atau lebih boleh membawa maut,” katanya.
Dr. Zhenkui menjelaskan bahawa hempedu ikan mengandungi toksin yang boleh menyebabkan kerosakan kekal pada hati dan buah pinggang.
Dalam kes yang lebih teruk, ia boleh mengakibatkan renjatan, pendarahan otak dan kematian.
Beliau turut menegaskan bahawa racun tersebut tidak akan hilang walaupun hempedu dimasak atau direndam dalam alkohol, sekali gus menafikan kepercayaan bahawa ia selamat diambil jika diproses.
Selepas menjalani rawatan rapi selama lima hari, keadaan Liu akhirnya menunjukkan perkembangan positif dan dia dibenarkan pulang.
Insiden itu kini dijadikan peringatan tentang bahaya mempercayai mitos kesihatan tanpa asas perubatan, khususnya yang melibatkan pengambilan bahan mentah berisiko tinggi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
