PEMILIHAN jurusolek (MUA) merupakan antara perkara penting yang sering diberi perhatian oleh bakal pengantin kerana ia memberi kesan besar terhadap keyakinan diri pada hari pernikahan dan persandingan.
Jika tersalah memilih, hasil solekan yang tidak menepati cita rasa atau tidak sesuai dengan jenis kulit boleh menjejaskan emosi pengantin serta keseluruhan pengalaman pada hari bahagia.
Berkongsi pengalaman menguruskan banyak majlis perkahwinan, sebuah pengurusan dewan perkahwinan berkongsi lima tip memilih jurusolek menerusi akaun media sosial mereka:
BACA LAGI: Gigi dan gusi sihat rahsia senyuman awet muda
1. Semak portfolio dan hasil kerja jurusolek
Langkah pertama adalah meneliti hasil kerja jurusolek melalui platform seperti Instagram atau TikTok.
Menurut pihak banquet hall tersebut, bakal pengantin perlu memastikan gaya solekan yang ditawarkan sesuai dengan cita rasa sendiri sama ada natural, bold atau soft glam.
Jangan memilih semata-mata kerana jurusolek itu viral, sebaliknya lihat sama ada solekan tersebut sesuai dengan bentuk wajah dan tona kulit anda.
2. Lakukan sesi percubaan sebelum majlis
Sesi percubaan solekan atau trial dianggap penting bagi mengelakkan rasa tidak puas hati pada hari majlis.
Melalui sesi ini, pengantin dapat menilai keserasian produk yang digunakan serta hasil solekan pada kulit sendiri, selain mengesan sebarang reaksi alahan atau sensitiviti lebih awal.
3. Semak produk dan jenama digunakan
Selain itu, bakal pengantin perlu bertanyakan mengenai produk dan jenama solekan yang digunakan oleh jurusolek.
Penggunaan produk berkualiti dan sesuai dengan jenis kulit mampu memastikan solekan tahan lama dan selesa sepanjang majlis berlangsung.
Bagi individu yang mempunyai kulit sensitif, maklumat tersebut perlu dimaklumkan lebih awal agar jurusolek dapat menyesuaikan pilihan produk.
4. Perhatikan cara komunikasi dan layanan jurusolek
Selain kemahiran menyolek, sikap profesional jurusolek juga memainkan peranan penting.
Jurusolek yang baik bukan sahaja mahir dari segi teknik, malah tenang, mudah berkomunikasi dan cekap mengurus masa.
Cara jurusolek menjawab soalan ketika proses tempahan boleh mencerminkan tahap profesionalisme mereka, namun ada juga pengantin terlepas pandang perkara ini.
5. Sesuaikan pilihan dengan bajet, lokasi majlis
Akhir sekali, pemilihan jurusolek perlu disesuaikan dengan bajet serta lokasi majlis.
Pengantin disarankan memilih perkhidmatan yang berbaloi dengan harga ditawarkan, bukan semata-mata yang paling murah.
Kos tambahan seperti perjalanan jurusolek dari lokasi jauh juga perlu diambil kira bagi mengelakkan perbelanjaan di luar jangkaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
