Wanita terkilan tukang jahit guna lebihan 'lace' baju nikah tanpa izin, hasilkan sepasang baju baharu dan jual


  • Gaya
  • Isnin, 29 Dis 2025

Wanita meluahkan rasa kecewa selepas mendapati lebihan kain renda eksklusif miliknya digunakan oleh tukang jahit untuk menghasilkan baju lain tanpa kebenaran bagi tujuan keuntungan peribadi. — Gambar hiasan/AI

SEORANG wanita meluahkan rasa terkilan dan marah terhadap sikap seorang tukang jahit yang didakwa tidak amanah apabila menggunakan lebihan kain serta hiasan renda (lace) baju nikahnya untuk menghasilkan busana lain tanpa kebenaran.

Menerusi perkongsian di Threads, wanita berkenaan mendakwa kain dan renda eksklusif tersebut dibeli oleh ibunya di Bandung, Indonesia dengan harga yang tinggi khusus untuk hari bahagianya.

Bagaimanapun, tindakan tukang jahit tersebut terbongkar apabila beliau dipercayai menghasilkan sepasang lagi baju menggunakan material yang sama untuk tujuan jualan.

BACA LAGI: Trend rawatan kecantikan DIY di rumah makin popular di Korea Selatan

BACA LAGI: Pasport produk digital, noktah 'greenwashing' industri fesyen di Eropah?

"Kalian rasa patut ke tukang jahit ambil lace pengantin dengan kain pasang tanpa minta kebenaran, kemudian buat satu lagi baju dan jual?

"Dia curi tanpa izin, apabila ditegur boleh beri alasan selalunya pelanggan tidak mengambil lebihan kain tersebut," katanya dalam hantaran yang tular itu.

Menurut mangsa, beliau tidak pernah meminta pengurangan harga bagi kos upah menjahit baju nikahnya yang mencecah RM800, namun tidak menyangka akan dikhianati sedemikian rupa.

"Ibu saya beli renda ini mahal-mahal, awak sesuka hati curi buat baju lain. Sumpah perangai awak memang tidak bertanggungjawab!" tegasnya lagi.

Keadaan menjadi lebih tegang apabila wanita tersebut memuat naik kemas kini terbaharu mengenai perbualan antara pihaknya dengan tukang jahit berkenaan.

Tukang jahit itu didakwa cuba mempertahankan diri dengan menyatakan bahawa hanya menggunakan sedikit sahaja baki kain tersebut, namun realitinya jumlah kain diambil mencukupi untuk menghasilkan sepasang baju lengkap.

Lebih mengejutkan, tukang jahit tersebut meminta ibu mangsa membayar RM750 jika mahu memiliki baju yang telah siap dijahit menggunakan kain 'curi' itu.

"Yang tidak masuk akal, dia suruh ibu saya pula bayar RM750 untuk baju yang dia jahit guna kain saya itu. Bukan dia mahu bayar ganti rugi kain yang telah digunakan.

"Memang dasar tidak tahu malu, sudah terbiasa buat kerja haram begini dengan mengambil hak orang lain," katanya penuh kecewa.

Rata-rata warga maya yang membaca perkongsian tersebut turut mengecam tindakan tukang jahit berkenaan dan menyarankan agar mangsa menuntut ganti rugi atau membuat laporan polis kerana melibatkan kecurian harta benda pelanggan.

Kes itu menjadi peringatan buat orang ramai agar lebih berhati-hati dalam memilih penyedia perkhidmatan dan sentiasa meminta baki kain dipulangkan bagi mengelakkan kejadian serupa berulang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram