PASANGAN selebriti Korea Selatan, Kim Woo Bin dan Shin Min Ah bersiap untuk melangkah ke alam perkahwinan selepas 10 tahun menjalin hubungan.
Mereka dijadualkan mengadakan majlis pernikahan secara tertutup pada malam Sabtu di Hotel Shilla, Seoul, Korea dalam majlis eksklusif yang hanya dihadiri ahli keluarga dan rakan terdekat.
Menjelang hari bahagia, pasangan ini mencuri perhatian peminat dengan berkongsi foto pasangan pertama mereka sebagai pengantin yang akan disatukan.
Ini adalah penampilan rasmi pertama mereka bersama sejak kempen Giordano hampir sedekad lalu dan kemunculan bersama dalam drama Our Blues.
Menerusi kenyataan yang dikongsikan AM Entertainment, Kim Woo Bin dan Shin Min Ah meluahkan rasa syukur atas sokongan berterusan peminat.
“Pada hari ini, pelakon Shin Min Ah dan pelakon Kim Woo Bin akan disatukan sebagai suami isteri.
"Kami amat berterima kasih atas doa, restu dan sokongan hangat yang diberikan ketika kami memulakan perjalanan baharu ini.
"Kami berharap dapat membalas kasih sayang anda dengan terus memberikan persembahan terbaik melalui karya-karya kami pada masa akan datang. Terima kasih," kata agensi itu.
Foto yang dikongsikan tampil dalam gaya hitam putih, menyerlahkan aura elegan dan romantik pasangan berkenaan.
Dalam suasana bersalji, Kim Woo Bin dan Shin Min Ah kelihatan berjalan sambil menoleh ke arah kamera dengan senyuman manis.
Shin Min Ah tampak anggun dalam persalinan pengantin serba putih lengkap dengan bunga bersaiz besar di tangan, manakala rambutnya terurai indah di belakang, melengkapkan busana dua helaian berpotongan korset.
Kim Woo Bin pula segak dalam sut hitam dipadankan dengan seluar rona cerah dan kemeja putih di bahagian dalam.
Lebih manis, mereka berpegangan tangan, meskipun tersorok di sebalik tubuh Shin Min Ah.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
