'Saya tak mahu berbaik semula', cuba ganggu hubungan dengan isteri, anak David Beckham enggan lagi dikawal


  • Cinta
  • Selasa, 20 Jan 2026

Brooklyn Peltz Beckham mengejutkan ramai apabila mengumumkan dia tidak mahu berbaik semula dengan keluarganya.

ANAK sulung pasangan selebriti British terkenal, David dan Victoria Beckham, Brooklyn Peltz Beckham mengejutkan ramai apabila mengumumkan dia tidak mahu berbaik semula dengan keluarganya.

Melalui hantaran di Instagram pada Isnin, Brooklyn mendedahkan hubungan keluarganya tegang sejak sebelum perkahwinannya dengan pelakon Amerika, Nicola Peltz Beckham.

Dalam hantaran tersebut, anak David Beckham yang berusia 26 itu menganggap ibu bapanya cuba mengawal naratif keluarga di media dan berusaha untuk merosakkan hubungannya dengan isteri.

“Saya tidak mahu berbaik semula dengan keluarga saya. Saya bukan lagi dikawal. Ini kali pertama saya berdiri untuk diri sendiri,” tulisnya kepada 16.2 juta pengikutnya.

BACA LAGI: Niat nak kurus amal diet karnivor, pempengaruh usia 23 tahun alami masalah buah pinggang serius

BACA LAGI: Konon tanda prihatin, jururawat digantung tugas gara-gara benarkan teman lelaki urus ubat, laporan pesakit

Brooklyn turut menceritakan beberapa insiden yang menimbulkan konflik. 

Antaranya, ibu bapanya membatalkan pembuatan gaun perkahwinan Nicola pada saat akhir, walaupun pada awalnya teruja untuk mereka cipta. 

Kejadian itu memaksa isteri Brooklyn mencari gaun baharu secara tergesa-gesa.

Selain itu, dia mendakwa ibunya 'mencelah' tarian pertama mereka dan menari dengan cara yang membuatnya berasa tidak selesa sehingga dipermalukan di hadapan ratusan tetamu. 

Brooklyn juga berkata, isterinya tidak dijemput ke majlis sambutan hari jadi ke-50 bapanya.

“Dalam keluarga saya, promosi dan penjenamaan selalu diutamakan. Brand Beckham didahulukan,” tambahnya.

Brooklyn menutup kenyataannya dengan mendedahkan bahawa dia membesar dengan rasa cemas, namun kini sudah menemui ketenangan dan kebebasan dalam hidupnya sendiri.

Setakat berita ini ditulis, jurucakap David dan Victoria Beckham belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu ini. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram