SETIAP kelahiran membawa kebahagiaan, namun tidak semua berakhir dengan kegembiraan.
Kehilangan seorang ibu selepas bersalin adalah pengalaman yang menyentuh hati ramai, terutama bagi mereka terlibat secara langsung dalam mengurus jenazah.
Suasana penuh emosi, air mata dan doa sering mengiringi detik terakhir tersebut.
Seorang wanita baru-baru ini berkongsi pengalaman meninggalkan kesan mendalam apabila diberi peluang memandikan jenazah seorang ibu yang meninggal dunia selepas bersalin pada 1 Disember tahun lalu.
Menurutnya, pengalaman itu bukan sahaja menginsafkan, tetapi juga membuka mata tentang pengorbanan seorang ibu.
"Jenazah ibu tersebut berbadan besar, namun semasa diangkat, terasa sangat ringan. Saya dan yang lain terkejut kerana mudah memindahkan jenazah ke meja mandian," katanya.
Ceritanya lagi ketika proses pemandian, hidungnya tercium bau harum yang jelas walaupun dia memakai penutup muka.
Bau itu dikatakannya sama seperti wangian yang pernah dia hidu di beberapa tempat sebelum ini, tetapi kali ini pertama kali dirasai dalam bilik jenazah.
"Seketika badan saya terasa meremang, bukan kerana takut tetapi sukar dijelaskan," ujarnya.
Menurutnya lagi, ketika proses mengangkat jenazah dan memindahkannya dari pengusung ke meja mandian, mereka berjumlah tujuh orang termasuk tiga waris arwah iaitu ibu dan dua adik arwah.
Ustazah yang membimbing hanya memberikan panduan, manakala waris diberi peluang untuk memandikan jenazah.
"Selepas selesai pemandian, wajah arwah kelihatan berseri dan seperti sedang tidur.
"Bau kapur barus dan wangian dari jenazah menyatu, tetapi tidak memeningkan.
Jenazah terasa ringan dan proses mandian serta pengkafanan selesai hanya dalam masa 22 minit," jelas wanita itu.
Beliau turut berkongsi detik menginsafkan selepas urusan selesai apabila mak arwah menitiskan air mata dengan tenang sambil mereka bersalaman.
Wanita itu menganggap pengalaman itu sebagai rezeki dan peluang untuk berkhidmat bagi seorang 'bidadari syurga'.
Dalam penutup perkongsiannya, wanita itu menasihati suami supaya menghargai isteri, terutama ketika mengandung.
"Sayangilah isteri anda kerana mereka sedang berjuang untuk anak dan diri mereka sendiri.
"Kita tidak tahu hari ini mungkin hari terakhir mereka menjadi isteri dan ibu," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
