KETIKA ramai menyerahkan urusan kematian kepada takdir dan ahli keluarga, usahawan terkenal Haliza Maysuri memilih jalan berbeza iaitu merancangnya sendiri, siap dengan jenama, kualiti dan kelengkapan lengkap.
Menerusi satu video yang dimuat naik di laman Threads, Haliza berkongsi detik kunjungannya ke butik pereka fesyen tersohor, Datuk Rizalman Ibrahim untuk menempah set lengkap pakaian jenazah, sekali gus mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan warga maya.
Bagi Haliza, kemewahan bukan soal menunjuk, sebaliknya prinsip hidup yang konsisten dari dunia hingga ke akhirat.
“Selalu saya tempah busana harga ratusan ribu, selalu dikecam. Mati nanti pakai kain kapan sahaja. Hari ini, saya tempah pakaian alam kubur,” tulisnya.
BACA LAGI: Wanita 22 tahun lumpuh, nyaris maut akibat strok, waspada Gen Z juga berisiko terkena serangan otak
Beliau turut menegaskan, jika sepanjang hidupnya memilih pakaian berjenama dan berkualiti, tidak wajar urusan terakhir dipandang ringan.
“Pakaian dunia saya berjenama. Akhirat pun kenalah yang terbaik dan berjenama. Barulah seimbang dunia dan akhirat,” katanya.
Dalam perkongsian itu, Haliza memaklumkan dia menempah dua set pakaian kubur bernilai RM1,998, bersaiz bebas yang tidak memerlukan sesi ukuran badan.
Katanya, langkah itu juga merupakan satu bentuk wasiat.
“Kalau saya mati, saya tak nak kain kapan biasa. Saya nak good quality, sebagaimana baju saya di dunia ini,” ujarnya.
Haliza turut mendedahkan kain yang digunakan diperbuat daripada material berkualiti tinggi dari Pakistan.
"Tengok pakaian ni pun dah nampak mahal," katanya sambil membuka set berkenaan.
Sementara itu, Datuk Rizalman Ibrahim turut menjelaskan bahawa set lengkap tersebut bukan sekadar mengandungi kain kafan, tetapi direka lengkap secara menyeluruh.
Antara kelengkapan yang disediakan termasuk kapas dalam kuantiti mencukupi, tiga kit berasingan untuk ziarah, mandian dan kafan, selain bantal, plastik, tisu basah serta kain penutup.
Turut disertakan buku catatan hutang dan hasrat terakhir, termasuk ruang untuk mencatat pembahagian harta, sama ada secara sama rata atau mengikut faraid, serta maklumat penting seperti kata laluan akaun media sosial.
“Kalau esok nak padamkan akaun, orang tak tahu. Semua kena tulis siap-siap dalam buku ini,” jelasnya.
Set berkenaan turut dilengkapi kain kafan pelbagai ukuran, gel mandian jenazah, kapur barus, gunting, apron, benang, penutup muka, serta sampul khas untuk sedekah kepada pemandi mayat atau individu terlibat dalam pengurusan jenazah.
“Ini semua kena buat masa kita hidup. Yang lain, biar orang uruskan,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
