Elak 'simpan' wuduk terlalu lama, bimbang kemungkinan terbatal tanpa sedar


  • Maya
  • Rabu, 14 Jan 2026

Wanita tidak digalakkan untuk menyimpan wuduk dalam tempoh terlalu lama. — Gambar hiasan

KEBERSIHAN dan kesucian diri merupakan antara aspek penting yang perlu dititikberatkan sebelum seseorang menunaikan ibadah solat.

Perkara yang mungkin terlihat kecil itu ternyata memainkan peranan besar dalam memastikan ibadah sah dilaksanakan.

Isu tersebut bagaimanapun kembali dibangkitkan bagi memberi pencerahan terutama kepada golongan wanita.

BACA LAGI: 'Silent treatment', tak pulang rumah antara pengabaian emosi, berikut teknik tangani konflik perkahwinan secara rasional

BACA LAGI: Simbolik cinta, kekasih maut nahas kemalangan, nama diabadikan pada kafe konsep Vietnam, Filipina

Kebersihan menjadi keutamaan sebelum melaksanakan sebarang ibadah. — Gambar hiasan

Menerusi perkongsian pemilik akaun Threads @wnamalinn, masih ramai wanita tidak menyedari bahawa terdapat faktor utama yang berpotensi memberi kesan terhadap status wuduk.

Kongsinya, faraj wanita secara semula jadi mengeluarkan pelbagai jenis cecair yang berbeza.

Antaranya keputihan, peluh, kelembapan biasa, cecair mazi dan lain-lain.

Menurutnya, para ulama turut menyatakan bahawa terdapat antara 10 hingga 17 jenis cecair yang boleh keluar dari faraj wanita dan kebanyakannya berpotensi membatalkan wuduk.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (WP) bagaimanapun menjelaskan, hukum keputihan dan kelembapan faraj adalah berbeza.

Menurutnya, lembapan faraj keluar dari tempat yang diwajibkan basuh ketika istinjak iaitu jelas ketika duduk mencangkung (had zahir) adalah suci dan tidak membatalkan wuduk.

Manakala, keputihan iaitu cecair yang keluar daripada dalaman faraj (batin al-faraj) adalah najis dan membatalkan wuduk.

Namun, keputihan yang keluar berterusan dihukumkan seperti wanita istihadah dan sah wuduk untuk satu solat fardu.

Sehubungan itu, wanita tidak digalakkan untuk menyimpan wuduk terlalu lama tanpa memastikan kebersihan bahagian sulit, khususnya selepas keluar rumah.

Wanita digalakkan membersihkan muka daripada sebarang solekan sebelum mengerjakan solat sekiranya sudah terbatal wuduknya. — Gambar hiasan

Dalam usaha memperbaiki amalan, terdapat beberapa langkah praktikal yang disarankan.

Antaranya adalah membersihkan bahagian sulit sebelum solat, terutama jika wuduk diambil lama sebelum masuk waktu.

Selain itu, wanita juga digalakkan menyediakan satu beg kecil khas atau pouch dalam beg tangan.

Turut dibawa tuala kecil atau tisu untuk membersih dan mengeringkan bahagian sulit, pencuci wanita jika perlu atau tuala wanita bagi yang menggunakannya serta plastik.

Perkongsian itu turut menasihatkan agar wanita lebih peka menyusun masa dalam urusan ibadah.

Meskipun dibenarkan mengambil wuduk sebelum bersolek, namun tidak seharusnya disimpan terlalu lama kerana ada kemungkinan ia terbatal tanpa disedari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram