MENDIDIK anak tidak dinafikan menjadi antara tugas dan tanggungjawab paling besar dalam kalangan ibu bapa.
Kasih sayang yang dicurahkan kepada anak juga perlu diberikan secara berpada-pada agar ia tidak disalah tafsir sebagai 'terlalu memanjakan'.
Demikian perkongsian penyanyi, Arrora Salwa yang menegaskan bahawa ibu bapa tidak seharusnya mengambil alih sepenuhnya peranan anak dalam urusan harian terutama apabila mereka sudah berada peringkat remaja.
BACA LAGI: Demi pelajar rasa lebih selamat, guru ubah suai bilik kaunseling konsep 'feels like home'
BACA LAGI: Elak 'simpan' wuduk terlalu lama, bimbang kemungkinan terbatal tanpa sedar
Menurutnya, maklumat pakaian atau waktu pulang sekolah bagi anak berusia 16 tahun bukan lagi menjadi soalan yang perlu ditanya oleh ibu bapa.
"Anak Tingkatan 4 sepatutnya menyampaikan maklumat kepada ibu bapa, bukan sebaliknya.
"Jika semuanya disuap, anak tidak belajar mengurus diri, tidak berdikari, dan akan sentiasa bergantung.
"Sayang bukan bermaksud memanjakan. Sayang yang betul adalah mendidik anak menjadi manusia yang mampu mengurus hidupnya sendiri," jelasnya.
Beliau pada masa sama berkongsi tiga perkara utama perlu diteliti dan dipraktikkan oleh ibu bapa.

Didikan dan pendedahan perlu diberikan kepada anak yang mula meningkat dewasa. — Gambar hiasan
1. Teori autonomi: Anak perlu belajar mengurus diri
Mengulas lanjut, Arrora Salwa merujuk kepada teori autonomi atau Self-Determination Theory dalam psikologi perkembangan yang menekankan keperluan kanak-kanak dan remaja membina keupayaan mengurus diri serta memikul tanggungjawab sendiri.
Katanya, apabila ibu bapa terlalu kerap mengingatkan, bertanya dan menyusun semua keperluan anak, otak mereka tidak diberi ruang untuk belajar mengurus kehidupan sebenar.
2. Anak dilatih menjadi pasif
Selain itu, Arrora turut menyentuh konsep learned helplessness atau ketidakupayaan yang dipelajari.
Ia satu keadaan anak yang terlalu dimanjakan membentuk mentaliti untuk sentiasa bergantung kepada orang lain.
Keadaan itu sekali gus menyebabkan anak kurang mengambil inisiatif, bertanggungjawab, mudah bergantung dan sukar membuat keputusan apabila dewasa.
Ironinya, niat ibu bapa untuk membantu akhirnya melatih anak menjadi pasif.
3. Tingkatan 4 fasa kritikal pembentukan jati diri
Menurutnya, usia 16 tahun merupakan fasa kritikal dalam pembentukan identiti, latihan tanggungjawab sosial dan persediaan ke alam dewasa.
Jika pada peringkat tersebut, ibu bapa masih bertindak sebagai 'pengurus sekolah' atau anak tidak tahu menyampaikan maklumat asas, ia boleh melemahkan kawalan diri serta disiplin mereka.
Justeru, Arrora menekankan bahawa kasih sayang bukan bermaksud menutup semua kesilapan anak.
Sebaliknya, memberi ruang untuk mereka belajar, melakukan kesilapan dan memperbaikinya.
"Anak yang berdikari lebih stabil emosi, tinggi keyakinan diri dan bersedia menghadapi tekanan hidup.
"Kita juga perlu sedar, akan tiba masa kita pergi selamanya bila sampai waktunya," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
