KEGEMBIRAAN menyambut kelahiran seorang bayi lelaki bertukar menjadi detik pilu apabila jari tengahnya terputus akibat kecuaian seorang bidan di sebuah hospital yang terletak di China.
Bayi itu dilahirkan pada pagi 25 Disember lepas melalui pembedahan caesarean di Hospital Rakyat Daerah Xuyi, wilayah Jiangsu, China.
Semua berjalan lancar pada awalnya, tetapi dua jam selepas kelahiran, bapa bayi dimaklumkan bahawa jari tengah kiri anaknya telah terpotong secara tidak sengaja ketika mahu membuat pemotongan tali pusat.
BACA LAGI: Niat nak kurus amal diet karnivor, pempengaruh usia 23 tahun alami masalah buah pinggang serius
Bayi malang itu kemudiannya dipindahkan ke dua hospital sebelum akhirnya dirujuk ke Hospital Rakyat No. 9 Wuxi, kira-kira 300 kilometer dari hospital asal, untuk menjalani pembedahan menyambung semula jari.
Bidan terbabit memaklumkan bahawa kecelakaan itu berlaku apabila jari bayi bergerak secara tiba-tiba semasa prosedur dijalankan.
Suruhanjaya Kesihatan Daerah Xuyi mengesahkan bahawa insiden itu berpunca daripada kesilapan serius kakitangan hospital.
Pembedahan menyambung semula jari bayi dilaporkan berjaya dan bayi kini menjalani rawatan pemulihan di hospital asal.
Bagaimanapun, bidan yang terlibat telah digantung tugas.
Pihak hospital memohon maaf berulang kali kepada keluarga dan memberi jaminan akan menanggung kos rawatan serta pemulihan bayi sepenuhnya.
Bapa bayi, yang dikenali sebagai Sheng berkata, isterinya masih tertekan dengan kejadian itu.
Menurut beliau, bayi mereka kerap menangis kerana kesakitan selepas pembedahan.
Insiden berkenaan mencetuskan kemarahan dalam kalangan warga maya terutama golongan ibu bapa yang merasai penderitaan itu.
“Sukar diterima bahawa kecuaian seperti ini berlaku,” tulis seorang pengguna media sosial.
“Hati saya luluh sebagai ibu. Bayi itu tidak sepatutnya melalui penderitaan seperti ini," kata seorang lagi pengguna. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
