RAMAI ibu bapa hari ini mengamalkan pendekatan gentle parenting dan menggalakkan anak meluahkan emosi.
Dalam masa sama, mereka juga mahu anak membesar sebagai individu yang berdikari.
Sebab itu, mainan seperti dapur mainan realistik atau set pembersihan kanak-kanak menjadi tular kerana dilihat mampu mengajar kemahiran hidup sejak kecil.
BACA LAGI: Sekolah hasilkan buku tahunan 3D, bantu pelajar cacat penglihatan kenali rakan sekelas

Kanak-kanak belajar menyimpan sebahagian wang elaun mingguan sebagai sebahagian daripada pendedahan awal terhadap pengurusan kewangan dan pembentukan tabiat menabung. — Gambar hiasan/Freepik
Salah satu trend terbaharu yang semakin mendapat perhatian adalah dengan mengajar anak mengurus bajet mingguan.
Mengajar kanak-kanak tentang perbelanjaan mingguan kini semakin popular. Namun, bagaimana sebenarnya ia dilakukan?
Contohnya, ibu bapa akan memberikan elaun tetap kepada anak seawal usia lima tahun.
Daripada jumlah itu, ibu bapa menetapkan ‘perbelanjaan’ seperti sewa atau barangan dapur, memperuntukkan sedikit wang untuk kehendak seperti mainan, malah ada yang menggalakkan anak menyimpan atau ‘melabur’ sebahagian wang tersebut.
Idea di sebalik pendekatan ini adalah untuk memperkenalkan konsep wang lebih awal supaya anak belajar menyimpan, berbelanja dan memahami kos kehidupan sebenar.
Namun, adakah pendekatan ini benar-benar sihat untuk perkembangan emosi kanak-kanak?
Kesan ajar bajet sejak kecil
Menurut pakar kesihatan mental dan sains tingkah laku di Artemis Hospitals, Gurugram, Dr Rahul Chandhok, pendedahan awal kepada pengurusan kewangan boleh memberi kesan positif kepada emosi kanak-kanak jika dilakukan dengan betul.
Katanya, kanak-kanak yang belajar bajet sejak kecil akan berasa lebih selamat dan yakin terhadap wang.
Mereka belajar bahawa wang ialah alat, bukan sesuatu yang perlu ditakuti.
Secara perlahan, ia membantu membina kawalan diri, kesabaran dan kemahiran membuat keputusan.
Namun, pakar psikologi dari Aster Whitefield Hospital, Bengaluru, S Giriprasad mengingatkan bahawa perbincangan tentang wang yang disertai rasa takut, rasa bersalah atau tekanan ibu bapa boleh menyebabkan kanak-kanak membentuk emosi negatif terhadap wang.
Kanak-kanak bukan sekadar belajar mengira, tetapi turut menyerap emosi yang dikaitkan dengan wang.
Manfaat dan risiko tersembunyi
Mengurus perbelanjaan mingguan membantu kanak-kanak merancang, membezakan keperluan dan kehendak serta belajar daripada kesilapan kecil.
Pengalaman ini boleh membina keyakinan, tanggungjawab dan rasa berdikari.
Namun, masalah timbul apabila bajet dijadikan terlalu ketat, bersifat menghukum atau berorientasikan prestasi.
Menurut Dr Chandhok, keadaan ini boleh menimbulkan tekanan, rasa bersalah dan ketakutan untuk melakukan kesilapan.
Kanak-kanak juga cenderung membandingkan diri dengan rakan sebaya.
Apabila rakan mampu membeli lebih banyak, anak mungkin merasakan bajet mereka tidak adil atau terlalu terhad.
Ibu bapa disarankan menjelaskan bahawa setiap keluarga mempunyai nilai dan kemampuan berbeza.
Selain itu, apabila ibu bapa memantau setiap perbelanjaan dan melabel pilihan anak sebagai baik atau buruk,
Pendidikan kewangan boleh berubah menjadi kawalan berlebihan. Ini berisiko mengurangkan kepercayaan dan mendorong anak menyembunyikan perbelanjaan.
Kunci sebenar
Pakar menegaskan bahawa kesediaan emosi dan tahap perkembangan anak lebih penting daripada usia semata-mata.
Pendekatan yang berperingkat, fleksibel dan penuh sokongan membantu anak melihat bajet sebagai proses pembelajaran, bukan tekanan.
Secara asasnya, mengajar anak tentang wang bukan sesuatu yang salah.
Paling penting cara ia disampaikan. Wang perlu dilihat sebagai sesuatu yang boleh diurus, bukan ukuran nilai diri.
Hubungan sihat dengan wang dibina melalui rasa selamat, keterbukaan dan kepercayaan, bukan disiplin semata-mata. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
