Risau 8 jam tak balas WhatsApp, rupanya suami buat kejutan, 'terbang' temui isteri di Tanah Suci


  • Cinta
  • Khamis, 15 Jan 2026

Difahamkan, si suami tiba di tanah suci lapan hari selepas isterinya berangkat menunaikan umrah bersama rakan-rakan. — TikTok/@izzudinehsan11

DISANGKA suami 'hilang' tanpa khabar selepas berjam-jam tidak membalas mesej WhatsApp, rupa-rupanya insan tersayang itu membuat kejutan apabila hadir menemui isteri yang sedang berada di Tanah Suci.

Sebuah video kejutan suami terhadap isterinya itu mencuri perhatian ramai selepas tular di media sosial baru-baru ini.

Video dipercayai dirakam oleh rakan mereka memaparkan wanita tersebut sedang berjalan sebelum suaminya tiba-tiba muncul merangkul bahu beliau.

BACA LAGI: Sekolah hasilkan buku tahunan 3D, bantu pelajar cacat penglihatan kenali rakan sekelas

BACA LAGI: Bukan saja berkhasiat, ini 5 manfaat air rendaman nanas ramai tak tahu, nombor 3 paling mengejutkan!

Dalam video yang dimuat naik oleh suaminya sendiri Izzudin Ehsan, wanita itu kelihatan kaget dengan kejutan detik tersebut.

Difahamkan, beliau menunaikan umrah bersama rakan-rakan dengan keizinan suami, manakala lelaki itu hanya tiba lapan hari kemudian sebagai satu kejutan yang dirancang secara rahsia.

Rakan kepada wanita berkenaan, Zalena Musa mendedahkan bahawa kejutan tersebut melibatkan usaha menyimpan rahsia dalam kalangan sahabat terdekat.

"Si pemegang rahsia hadir. Penat nak berbohong lagi-lagi dengan sahabat baik sendiri.

"Ada yang tiba-tiba meluahkan perasaan sebab suami tidak membalas WhatsApp lebih lapan jam dan hanya ada satu tanda (one tick)," tulisnya di ruangan komen video itu sambil menzahirkan rasa lega kerana rancangan manis berkenaan berjaya.

Sementara itu dalam hantaran video sama yang dimuat naik semula oleh warga maya di Threads, Izzudin turut tampil memberi penjelasan bahawa kehadirannya ke Tanah Suci bukan bertujuan menunjuk, sebaliknya sekadar mahu menyimpan kenangan bersama isteri.

Katanya, beliau menunaikan umrah secara persendirian selama lima hari dengan membeli tiket penerbangan secara spontan.

"Umrah saya utamakan. Kejutan isteri nombor dua. Isteri pergi dengan kawan-kawan dengan keizinan saya.

"Saya datang buat umrah secara do-it-yourself (DIY) selama lima hari dan membeli tiket penerbangan secara terus.

"Pada masa sama, ulang tahun perkahwinan kami juga semakin hampir. Tuhan hadirkan momen yang tepat pada waktunya,” katanya yang turut merakamkan penghargaan atas doa dan kata-kata baik yang dititipkan orang ramai terhadap dirinya dan isteri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram