Terpedaya 7 tahun, wanita baru tahu suami 'polis' sebenarnya pembunuh sedang jalani hukuman mati


  • Cinta
  • Selasa, 13 Jan 2026

Seorang wanita terkejut selepas mendapati suaminya yang disangka pegawai polis sebenarnya seorang pembunuh. — Gambar hiasan/Agensi

SEORANG wanita di wilayah Hebei, utara China, Beijing terkejut apabila mendapati suaminya yang disangka pegawai Pasukan Polis Bersenjata Rakyat (PAP) sebenarnya seorang pembunuh yang telah disabit kesalahan, lapor agensi.

Wanita itu yang menggunakan nama samaran Pang, berkahwin dengan seorang lelaki bernama Jia Bin pada 2014 selepas diperkenalkan oleh bapa saudaranya.

Mereka kemudian dikurniakan seorang anak lelaki.

BACA LAGI: 'Bukan asal lulus atau ikut kawan', bapa latih anak model ‘GROW’, pilih hala tuju lepas SPM 2026

BACA LAGI: Simbolik cinta, kekasih maut nahas kemalangan, nama diabadikan pada kafe konsep Vietnam, Filipina

Pang mendedahkan pengalamannya dalam satu temu bual di televisyen. — Agensi

Namun, Jia semakin jarang berada di rumah dengan alasan menjalankan 'misi khas'.

Pada mulanya, dia hilang beberapa hari, kemudian berbulan-bulan sebelum akhirnya ghaib sepenuhnya pada 2017.

Pang berkata, dia tidak berani menyemak dokumen suaminya kerana takut Jia marah.

Dia juga tidak menghubungi 'unit' yang dikatakan tempat suaminya bertugas.

Pang menambah bahawa dia mahu anaknya membesar dengan kehadiran seorang bapa kerana dia sendiri dibesarkan oleh ibu tunggal.

Pada 2020, Pang memfailkan perceraian di mahkamah tempatan. Pada masa itu, dia diberitahu bahawa identiti Jia Bin sebenarnya tidak wujud.

Semasa pendaftaran perkahwinan, lelaki itu hanya menyerahkan kad pengenalan tentera dan sijil unit yang ternyata palsu.

Menurut seorang kakitangan pejabat pendaftaran, mereka pada waktu itu tidak mempunyai kemahiran untuk mengesahkan dokumen tentera.

Hanya seorang wanita yang mengaku sebagai 'adik perempuannya' hadir pada majlis perkahwinan, manakala Jia mendakwa bapanya telah meninggal dunia.

Rahsia sebenar terbongkar pada 2021 apabila Pang menerima panggilan telefon daripada sebuah penjara.

Dia dimaklumkan bahawa suaminya sebenarnya bernama Tu Jinli, seorang penjenayah yang disabit kesalahan membunuh dan menipu serta sedang menjalani hukuman mati ditangguhkan.

Tu turut mempunyai isteri dan anak lain.

Dilaporkan beliau membunuh seorang lelaki dalam pergaduhan pada 2011 di bandar lain sebelum melarikan diri ke bandar tempat Pang menetap.

Tu menyamar sebagai pegawai PAP bagi menutup identitinya dan menipu wang orang ramai.

Salah seorang wanita yang ditipu membuat laporan polis dan pihak berkuasa berjaya mengesan Tu melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta menahannya pada 2017.

Mahkamah menjatuhkan sabitan hukuman pada 2020.

Di penjara, Tu dilaporkan menyesal dan memberitahu Pang tentang identitinya yang sebenar.

Pang berkata, dia berasa jijik kerana telah berkahwin dengan seorang pembunuh dan mempunyai seorang anak daripadanya.

Tahun lalu, selepas melalui prosedur pentadbiran yang panjang, perkahwinannya akhirnya dibatalkan secara rasmi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram