SEBUAH video menyentuh hati tular di TikTok selepas seorang wanita dikenali sebagai @ninalongkaya berkongsi situasi sukar yang dihadapi berikutan pemergian suami tercinta.
Ia lantaran ibu kepada lima orang anak itu terpaksa melepaskan stesen minyak milik arwah yang diusahakan hampir dua dekad.
Menerusi video berkenaan, wanita itu meluahkan rasa sebak apabila perniagaan yang dibina suaminya selama hampir 18 tahun tidak lagi mampu diteruskan.
“Maafkan I, I dah cuba usaha buat yang terbaik... 18 tahun you bina” luahnya dalam video tersebut.
BACA LAGI: Buat duit kumpul jaring terpakai, nelayan di Sepang dan Kuala Langat sertai CSR tangani 'ghost nets'
BACA LAGI: [VIDEO] Peniaga mualaf di Puchong raih pujian, kebersihan gerai nasi ayam tarik perhatian ramai
Dalam satu lagi video yang dimuat naik, wanita berkenaan berkongsi rakaman seorang pekerjanya yang kelihatan sedang menangis kerana dipercayai terpaksa diberhentikan walaupun hampir 20 tahun berkhidmat.
"I dah cuba buat yang terbaik untuk staf you, hampir 20 tahun dia berkhidmat dengan kita. I dah cuba tapi ALLAH dah tulis perjalanan ini,” ujarnya sayu.
Perkongsian itu mencetuskan perbincangan dalam kalangan pengguna media sosial mengenai nasib perniagaan yang terpaksa dilepaskan bukan kerana kegagalan pengurusan, sebaliknya akibat kekangan perundangan selepas pemilik meninggal dunia.
Mengulas isu berkenaan, Perancang Harta Patuh Syariah Bertauliah, Haniza Hussin menerusi satu hantaran di Facebook menjelaskan bahawa apabila pemilik individu sesebuah stesen minyak meninggal dunia, beberapa perkara akan dibekukan secara automatik.
Ia termasuk lesen perniagaan, pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan akaun bank syarikat.
Menurutnya, bagi meneruskan operasi, waris perlu melalui proses rumit seperti menukar nama pada semua lesen, mengurus dokumen perundangan serta memenuhi semula syarat ketat yang ditetapkan oleh syarikat minyak.
“Realitinya, bukan semua waris mampu, layak atau bersedia untuk melalui proses tersebut. Akhirnya, perniagaan terpaksa diserahkan semula bukan kerana gagal berniaga, tetapi kerana aset menjadi beku apabila pemilik tiada,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa masih ramai beranggapan pemilikan aset bernilai besar menjamin kesenangan waris, sedangkan hakikatnya aset tanpa perancangan boleh menjadi beban.
Sehubungan itu, Haniza menekankan kepentingan Perancangan Aset Patuh Syariah (Syariah Asset Solution) kepada semua pemilik perniagaan, khususnya mereka yang sedang giat membina aset namun belum memikirkan kelangsungan perniagaan sekiranya berlaku kematian.
Antara isu utama yang sering diabaikan oleh pemilik perniagaan termasuk aset yang boleh dibekukan walaupun bernilai tinggi, perniagaan sebagai sumber rezeki utama keluarga, aset perniagaan yang tidak boleh dibahagi secara praktikal mengikut faraid serta keperluan tunai segera oleh waris bagi menampung kos guaman, hutang dan modal pusingan ketika akaun masih dibekukan.
“Ringkasnya, membina perniagaan mengambil masa bertahun-tahun, tetapi melindungi perniagaan memerlukan kesedaran lebih awal. Perancangan aset patuh syariah bukan soal kematian semata-mata, tetapi kesinambungan, keadilan dan ketenangan untuk waris,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pemilik perniagaan agar bertanya kepada diri sendiri sama ada perniagaan yang dibina mampu diteruskan atau terjejas sekiranya sesuatu berlaku secara tiba-tiba. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
