DALAM perkahwinan, masalah komunikasi sering menjadi punca hubungan suami isteri mulai renggang.
Namun, bagi seorang lelaki, Azfey, pengalaman 12 tahun berumah tangga mengajarnya satu perkara penting iaitu berkomunikasi bukan bererti kehilangan kuasa, sebaliknya cara paling berkesan untuk menjaga ketenangan rumah tangga.
Menerusi satu hantaran di Threads, Azfey berkongsi bagaimana sikap berterus terang dan merendahkan ego menjadi kunci kepada keharmonian perkahwinannya.
BACA LAGI: Selepas 15 tahun menanti zuriat, pasangan ini akhirnya timang cahaya mata menerusi tajaan TAFF
Menurutnya, ramai lelaki memilih untuk berdiam diri apabila pulang ke rumah dalam keadaan letih, tanpa menyedari bahawa sikap itu boleh mencetuskan overthinking dalam fikiran isteri.
“Kalau saya balik rumah dengan muka serius sebab penat, saya akan terus beritahu. Saya cakap, ‘Sayang, saya penat sikit hari ini. Boleh bagi saya rehat sekejap? Nanti kita borak,’” katanya.
Azfey berkata, wanita secara semula jadi memproses emosi secara menyeluruh.
Mereka peka terhadap bahasa tubuh, riak wajah dan perubahan tingkah laku.
Apabila suami memilih untuk berdiam diri, emosi isteri mudah terarah kepada kebimbangan, lalu timbul pelbagai persoalan dalam fikiran.

Sentuhan sederhana mampu menenangkan hati isteri, tanda kasih sayang dan penghargaan dalam perkahwinan. — Gambar hiasan
Hakikatnya, lelaki dan wanita berehat dengan cara yang berbeza.
Lelaki memerlukan ruang dan ketenangan, manakala wanita pula memerlukan penjelasan dan rasa difahami.
Tanpa komunikasi, salah faham boleh berlaku sehingga isteri mula beranggapan, “Dia sudah tidak sayang aku lagi,” walaupun itu bukan niat sebenar si suami.
“Daripada isteri membuat kesimpulan sendiri, lebih baik suami jelaskan dari awal. Saya sudah amalkan perkara ini bertahun-tahun. Alhamdulillah, inilah ikhtiar saya untuk menjaga keamanan rumah tangga,” ujarnya.
Sebagai ketua keluarga, Azfey menegaskan bahawa suami bertanggungjawab memastikan keselamatan emosi isteri sentiasa terpelihara.
Membiarkan isteri berteka-teki, katanya, bukan sahaja tidak adil, malah boleh memberi kesan buruk kepada emosi dan mental mereka.
Beliau turut berkongsi bagaimana komunikasi yang jelas memudahkan kedua-dua pihak memahami keperluan masing-masing.
“Saya cuma beritahu, ‘Saya perlukan masa bersendirian kira-kira satu jam. Banyak perkara dalam kepala.’ Lepas itu, isteri saya faham dan tidak mengganggu. Dia beri ruang sampai saya sendiri kembali mencarinya," katanya.
Menurut Azfey, ramai lelaki dibesarkan dalam budaya yang mengajar mereka untuk memendam perasaan, tidak menunjukkan kelemahan dan menjaga ego sebagai lambang kekuatan.
Namun, dalam hubungan yang sihat, cara berfikir itu perlu diubah.
“Saya sudah berada di fasa letih menjaga ego. Saya pilih untuk bercakap dan meluahkan perasaan. Bukan sebab lemah, tetapi kerana saya mahu menghargai pasangan saya," katanya.
Beliau juga menolak tanggapan bahawa lelaki yang menunjukkan kasih sayang akan dipijak-pijak.
Sebaliknya, baginya, menghargai isteri adalah pilihan sedar demi ketenangan bersama.
Azfey menutup perkongsiannya dengan satu mesej yang jelas iaitu komunikasi adalah sebahagian daripada kepimpinan dalam rumah tangga.
Dalam kehidupan berumahtangga yang tidak pernah sunyi daripada ujian, pasangan perlu mempunyai cara tersendiri untuk mengurus konflik agar tidak saling memendam rasa.
“Cara lelaki dan wanita memang berbeza. Kalau tiada komunikasi, rumah tangga boleh hancur. Memberitahu bukan tanda lemah, tetapi tanda kita menjaga ketenangan yang dibina bersama," ujarnya.
Katanya, rasa selamat merupakan keperluan emosi utama wanita dan menjadi tanggungjawab suami untuk menyampaikannya dengan cara yang betul.
“Lelaki yang berkomunikasi adalah lelaki yang memimpin,” tegasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
