BERAT hati seorang bapa apabila terpaksa melepaskan anak yang masih kecil untuk berjauhan.
Itulah perasaan dikongsi oleh angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie apabila anak keduanya, Sophea Natasha, 12, melangkah masuk ke alam persekolahan berasrama di Kolej Tunku Kurshiah (TKC), Seremban, Negeri Sembilan.
Menerusi satu hantaran di Instagram, beliau berkongsi detik menghantar anak perempuannya itu ke asrama dengan memuat naik dua keping gambar mereka bersama.
BACA LAGI: Niat nak kurus amal diet karnivor, pempengaruh usia 23 tahun alami masalah buah pinggang serius
Dalam gambar berkenaan, Sophea Natasha kelihatan manis bertudung, sekali gus mencuri perhatian warga maya.
Mengakui perasaan sedih untuk berjauhan, Dr. Sheikh Muszaphar beranggapan keputusan tersebut dibuat demi kebaikan masa depan anaknya.
"Sedih juga bila terpaksa lepaskan, tapi ini semua untuk kebaikannya. Pada tahun 2024, masa Bella masuk sekolah berasrama, memang susah untuk kami lepaskan.
"Tahun 2026, perasaan itu masih sama, malah rasa lebih berat. Daddy akan datang setiap minggu,” tulisnya.
Beliau dan isteri, Dr. Halina juga merupakan lepasan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan sudah biasa dengan kehidupan sekolah berasrama sejak Tingkatan Satu.
“Kami tahu bagaimana kehidupan di asrama, apa cabarannya dan apa yang perlu dilalui. Cuma sekarang, giliran anak pula untuk menghadapinya,” katanya.
Baginya, Sophea Natasha atau lebih dikenali sebagai Tasha dilihat sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk memulakan fasa baharu dalam hidupnya.
“Kami doakan yang terbaik untuk dia berjaya, bukan saja di dunia, tapi juga di akhirat,” katanya lagi.
Menariknya, Tasha merupakan peserta Program Pembangunan Sukan Bakat Olimpik 2025/2026 bagi acara renang.
Namun, menjawab pertanyaan seorang warga maya mengenai masa depan sukan anaknya itu, Dr. Sheikh Muszaphar memaklumkan Tasha berkemungkinan akan menghentikan penglibatan dalam renang buat sementara waktu.
“Tasha mungkin akan lepaskan renang dan fokus kepada acara olahraga serta sukan lain,” jelasnya ringkas.
Perkongsian tersebut turut menerima pelbagai reaksi positif daripada warga maya.
Seorang pengguna, Su Yah memuji penampilan anak-anak mereka dan menyifatkan aura kemanisan jelas terserlah apabila mengenakan tudung.
Untuk rekod, Dr. Sheikh Muszaphar berkahwin dengan Dr. Halina pada 10 Oktober 2010.
Pasangan ini dikurniakan tujuh orang cahaya mata iaitu Sophea Isabella, Sophea Natasha, kembar Sheikh Adam dan Sheikh Noah, kembar Sheikh Eusoff dan Sophea Emilia, serta putera bongsu, Syed Muhammad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
