Suami main perempuan setiap kali hamil, lafaz talak pada hari lahir antara titik terendah dikongsi wanita sepanjang perkahwinan


  • Cinta
  • Khamis, 08 Jan 2026

Setiap wanita ada kisah tersendiri tentang pahit manis rumah tangga. — Gambar hiasan/Janaan AI

BAGI sebahagian wanita, perkahwinan bukan sekadar tempat membina kasih sayang.

Ia juga boleh menjadi punca luka dan trauma yang sukar dilupakan.

Ada yang terpaksa menanggung pengkhianatan, keganasan rumah tangga dan pengabaian sehingga titik terendah itu meninggalkan kesan mendalam dalam hidup mereka.

BACA LAGI: Banyak hati, lisan, tingkah perlu jaga, wanita kongsi 'ujian' sebenar tunai umrah dengan ibu

BACA LAGI: Suami hidap autisme gagal sedia nafkah? Ini cara Islam pastikan hak isteri terpelihara

 

 

Di platform Threads, beberapa wanita tampil menceritakan pengalaman pahit sepanjang perkahwinan mereka.

Seorang wanita menceritakan pengalamannya sepanjang tujuh tahun perkahwinan ketika hamil dan membesarkan tiga anak kecil tanpa sokongan bekas suaminya.

"Setiap kali hamil, bekas suami kantoi main aplikasi cari jodoh.

"Paling sedih, dia melayan janda selama beberapa tahun sementara aku bekerja keras untuk besarkan tiga anak kecil sebab tak diberi nafkah," kata @nanaashrina menambah, selepas tujuh tahun perkahwinan yang penuh derita, termasuk dicederakan pada awal perkahwinan, dia kini trauma untuk mengenali lelaki baru.

Sementara itu, bagi @johannasarah82, titik terendahnya datang pada saat kehilangan orang tersayang.

Seorang ibu menceritakan pengalaman ketika maknya nazak di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada malam raya, sementara suaminya terus balik ke kampung ibunya sendiri.

"Tahun ke-18 perkahwinan, mak tengah nazak di ICU malam raya dan suami terus balik kampung ibunya.

"Katanya dia pun ada mak jugak. Itulah titik paling rendah, di saat kita sedar bakal kehilangan kedua-duanya," kongsinya.

Lebih perih, ada juga pengalaman yang berlaku di depan anak-anak.

Seorang ibu menceritakan bagaimana dia dicederakan di bahagian luka pembedahan caesarean (czer) ketika sedang mandikan anak, akibat suaminya masih mengekalkan hubungan dengan bekas kekasih.

"Dah kahwin nak masuk sembilan tahun, saya kena sepak pada bahagian perut yang luka bersalin ketika mandikan anak kerana dia kantoi masih berhubung dengan penyondol.

"Dia menendang dan mencekik saya di depan anak dua tahun yang hanya terkebil-kebil melihat," cerita @ayuamirawahab.

Bagi sesetengah wanita, titik terendah itu berlaku melalui perceraian pada detik yang sepatutnya menjadi hari bermakna buatnya.

"Berpisah selepas lima tahun perkahwinan dan lafaz talak jatuh pada hari lahir saya sehingga saya rasa tak nak sambut ulang tahun untuk tahun-tahun seterusnya," kata @hadfinahaifa92 sambil menambah, dia hanya menumpang hari lahir anaknya sahaja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram