Wanita 22 tahun lumpuh, nyaris maut akibat strok, waspada Gen Z juga berisiko terkena serangan otak


  • Sihat
  • Isnin, 29 Dis 2025

Wanita berusia 22 tahun dikejarkan ke hospital selepas mengalami strok hemoragik yang mengancam nyawa. — Gambar hiasan

GOLONGAN yang mengalami strok bukan lagi hanya warga emas. 

Realiti itu terbukti apabila seorang wanita berusia 22 tahun hampir meninggal dunia akibat strok hemoragik, sekali gus membuka mata ramai bahawa golongan muda termasuk Gen Z juga berisiko tinggi diserang strok.

Wanita terbabit, Loan (bukan nama sebenar) dikejarkan ke Jabatan Kecemasan Hospital Umum Tam Anh di Hanoi, Vietnam dalam keadaan koma kritikal. 

BACA LAGI: Tak mahu isteri pandang lelaki lain, suami tergamak siram air panas hingga melecur ketika tidur, mangsa nekad fail saman

BACA LAGI: Suami ugut bayar RM50,000 kalau nak cerai? Peguam jelas hak isteri, bongkar helah pasangan ambil kesempatan

Skor Glasgow Coma Scale (GCS) beliau ketika tiba hanyalah 6, jauh di bawah paras normal 15. 

GCS ialah skala standard yang digunakan oleh doktor untuk menilai tahap kesedaran seseorang, terutamanya selepas kecederaan otak atau strok.

Anak mata kiri membesar hingga 4 milimeter tanpa sebarang reaksi cahaya, manakala anak mata kanan menunjukkan tindak balas lemah. 

Pasukan pakar bedah saraf melakukan pembedahan mikrosurgi untuk mengeluarkan hematoma dan menghentikan pendarahan otak.  — Gambar hiasan

Selain itu, beliau mengalami lumpuh pada kedua-dua belah tubuh.

Imbasan CT menunjukkan hematoma besar di hemisfera kiri otak, bersaiz 78 x 59 x 57 milimeter. 

Pembengkakan otak yang meluas menyebabkan tekanan pada struktur penting dan mencetuskan herniasi unkal, satu keadaan berbahaya yang boleh merosakkan batang otak. 

Doktor juga mengesan hematoma subdural setebal 7.5 milimeter.

Ketua Jabatan Bedah Saraf dan Tulang Belakang Hospital Tam Anh, Dr Nguyen Duc Anh menjelaskan punca kritikal ini adalah pecahnya malformasi arteriovenosa (AVM) serebrum iaitu kelainan pembuluh darah pada otak yang meningkatkan risiko pendarahan besar secara tiba-tiba.

“Apabila AVM pecah, pendarahan berlaku dengan cepat dan dalam kuantiti yang besar. Tanpa rawatan segera, pesakit berisiko lumpuh kekal atau meninggal dunia,” katanya.

Pasukan perubatan bertindak pantas dengan melakukan pembedahan mikrosurgeri kecemasan selama hampir empat jam. 

Sebahagian tulang tengkorak dibuka untuk mengeluarkan hematoma dan membuang saluran darah yang mengalami malformasi. 

Prosedur ini sangat berisiko kerana lokasi pendarahan berhampiran saluran darah utama dan pembengkakan otak menyukarkan pandangan semasa pembedahan.

Selepas pembedahan, pesakit memulakan proses rehabilitasi untuk memulihkan fungsi motor dan kognitif. — Gambar hiasan

Selepas pembedahan berjaya, Loan ditempatkan di unit rawatan rapi bagi mengurangkan bengkak otak, menstabilkan tekanan darah, serta mencegah komplikasi lain. 

Seminggu kemudian, beliau mula menunjukkan perkembangan positif dan selepas 30 hari, tahap kesedaran meningkat dengan ketara, diiringi program rehabilitasi untuk memulihkan fungsi motor dan kognitif.

Dr Anh menegaskan strok hemoragik sering meninggalkan kesan jangka panjang lebih serius berbanding jenis strok lain.

Tanpa rawatan segera, pesakit boleh mengalami lumpuh kekal, koma berpanjangan atau maut.

AVM pula boleh wujud sejak lahir atau berkembang perlahan tanpa disedari, justeru pemantauan berkala amat penting bagi individu yang berisiko.

Strok usia muda makin meningkat

Kajian dalam jurnal Frontiers in Neurology (2025) menunjukkan kadar kejadian strok dalam kalangan individu berusia 15 hingga 39 tahun mencecah 25.45 kes bagi setiap 100,000 penduduk pada 2021, dengan lebih 100 negara mencatatkan angka melebihi purata global.

Pakar mengaitkan trend ini dengan gaya hidup moden termasuk pemakanan tidak seimbang, kurang aktiviti fizikal, tekanan kerja dan gangguan tidur. 

Untuk menurunkan risiko, Dr Anh menyarankan pemakanan sihat, pengurangan garam dan lemak tepu, serta pengambilan lebih banyak sayur, buah-buahan dan protein sihat.

Selain itu, senaman sekurang-kurangnya 150 minit seminggu, tidur mencukupi, pengurusan stres yang baik, serta kawalan penyakit kronik seperti darah tinggi dan diabetes amat penting.

Kes Loan menjadi peringatan nyata bahawa strok tidak mengenal usia. Gen Z yang sering terdedah tekanan dan gaya hidup pantas perlu lebih sedar risiko dan mengambil langkah pencegahan sejak awal untuk melindungi nyawa.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram