PENYANYI dan model terkenal era 1980-an, Han Mi Ok pernah menjadi lambang kecantikan Korea Selatan.
Wajah menawan dan senyuman memikat membuatkan beliau cepat meraih populariti, termasuk peluang mengembangkan kerjaya di Jepun.
Namun, obsesi terhadap kesempurnaan fizikal mengubah hidupnya menjadi tragedi.
BACA LAGI: Wanita 22 tahun lumpuh, nyaris maut akibat strok, waspada Gen Z juga berisiko terkena serangan otak
Menurut laporan Kbizoom, Han Mi Ok mula berasa wajahnya tidak cukup sempurna. Dagunya dianggap terlalu lebar, raut wajahnya kurang tajam.
Apa yang bermula sebagai usaha untuk meningkatkan keyakinan diri bertukar menjadi pembedahan berulang, sehingga pakar bedah terpaksa menolak rawatan kerana bimbang terhadap kestabilan psikologinya.
Tidak berhenti di situ, Han Mi Ok beralih ke klinik haram dan akhirnya menyuntik minyak masak serta parafin sendiri ke wajahnya apabila tidak mampu membeli silikon.
Tindakan itu menyebabkan pembengkakan teruk dan perubahan wajah kekal.
Saiz kepalanya hampir tiga kali ganda berbanding tubuh, manakala ciri wajah asalnya tenggelam sepenuhnya.
Kisahnya terbongkar kepada umum pada 2004 melalui program SBS Capture the Moment: How Is That Possible telah menimbulkan simpati ramai.
Beliau kemudian menjalani 17 pembedahan untuk mengeluarkan bahan asing dari wajah dan leher.
Walaupun doktor berjaya mengurangkan saiz wajahnya, parut kekal, kesukaran menutup mata dan kesakitan kronik menjadi sebahagian daripada kehidupannya.
Pada tahun-tahun akhir, Han Mi Ok menjauhkan diri daripada perhatian orang ramai.
Beliau bekerja di kedai barangan terpakai dan bergantung kepada bantuan kebajikan.
Setiap kali keluar rumah, beliau dilaporkan mengenakan pelitup muka dan enggan melihat wajah sendiri.
Han Mi Ok meninggal dunia pada Disember 2018 di kediamannya pada usia 57 tahun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
