Anak 6 tahun masih 'blur' kira tambah tolak? Ini 5 permainan bantu lebih faham Matematik


  • Bonda
  • Isnin, 12 Jan 2026

Pendekatan berasaskan permainan membantu kanak-kanak memahami konsep nombor secara semula jadi tanpa tekanan. — Gambar hiasan/Janaan AI

KEBANYAKAN ibu bapa pernah melalui situasi yang mana anak mula belajar matematik asas tetapi masih keliru dengan konsep tambah dan tolak.

Walaupun sudah diberi latihan berulang kali, anak tetap sukar memahami dan cepat hilang fokus.

Menurut seorang wanita, Wani yang aktif berkongsi tip pembelajaran matematik kanak-kanak di media sosial, masalah ini bukan berpunca daripada anak yang lemah, sebaliknya pendekatan pembelajaran yang kurang sesuai dengan tahap perkembangan mereka.

BACA LAGI: 'Bukan asal lulus atau ikut kawan', bapa latih anak model ‘GROW’, pilih hala tuju lepas SPM 2026

BACA LAGI: Simbolik cinta, kekasih maut nahas kemalangan, nama diabadikan pada kafe konsep Vietnam, Filipina

Menerusi perkongsiannya, wanita berkenaan menegaskan, ibu bapa perlu berhenti memberi soalan semata-mata dan mula memperkenalkan permainan yang boleh membina number sense atau kepekaan terhadap nombor.

Berikut lima permainan ringkas yang dicadangkannya:

1. Teka sebelum buka

Permainan ini bertujuan melatih anak memahami kuantiti tanpa perlu mengira satu persatu.

Cara bermain:

  • Masukkan tiga hingga enam barang ke dalam bekas bertutup.
  • Goncang sedikit bekas.
  • Tanya anak sama ada jumlah barang itu lebih atau kurang daripada nombor tertentu.

Melalui aktiviti ini, anak belajar membuat anggaran dan membina asas penting sebelum memahami operasi tambah dan tolak.

2. Silap dengan sengaja

Permainan ini menggalakkan anak berfikir secara logik dan berani menyemak jawapan orang dewasa.

Cara bermain:

  • Ibu bapa sengaja membuat kiraan salah.
  • Sebut jawapan tersebut dan minta anak menilai sama ada ia betul atau tidak.

Pendekatan ini membantu anak memahami bahawa matematik bukan tentang mengikut arahan, sebaliknya memerlukan pemikiran yang masuk akal.

Melalui permainan ringkas di rumah, ibu bapa dapat membantu anak membina kefahaman nombor tanpa perlu bergantung kepada latihan bertulis. — Gambar hiasan/Janaan AI

3. Apa yang hilang

Permainan ini memperkenalkan konsep tolak tanpa menggunakan simbol atau angka.

Cara bermain:

  • Susun lima objek di hadapan anak.
  • Tutup objek dengan kain.
  • Keluarkan satu objek tanpa pengetahuan anak.
  • Buka semula dan tanya apa yang berubah.

Fokus permainan ini adalah pada perubahan kuantiti, bukan jawapan akhir, sekali gus membantu anak memahami konsep pengurangan secara semula jadi.

4. Tambah tanpa kira

Aktiviti ini melatih kemahiran anggaran yang jarang diterapkan tetapi sangat penting dalam pembelajaran matematik awal.

Cara bermain:

  • Tunjuk dua kumpulan objek dengan pantas.
  • Tutup objek tersebut.
  • Tanya sama ada jumlahnya lebih atau kurang daripada nombor tertentu.
  • Anak tidak diminta mengira, sebaliknya membuat anggaran berdasarkan pemerhatian.

5. Pilih jalan

Permainan ini memberi ruang kepada anak untuk membuat keputusan berkaitan operasi matematik.

Cara bermain:

  • Sediakan lima objek seperti gula-gula.
  • Tanya sama ada lebih mudah menambah dua atau menolak satu.
  • Biarkan anak memilih.

Kaedah ini membantu anak melihat tambah dan tolak sebagai pilihan, bukan arahan, sekali gus membina keyakinan dan kemahiran membuat keputusan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram