DI sebuah dewan sempit, tidak lebih besar daripada ruang tamu di bandar kelas pekerja Delta Nil, Mansoura, sekumpulan gadis bergelut, terjatuh dan bangun semula di atas tikar lusuh.
Gelak tawa dan jeritan mereka bergema di dinding yang catnya hampir mengelupas, mencerminkan semangat tinggi meski ruangnya terbatas.
Ribuan atlet muda di luar ibu kota Mesir berlatih di kelab-kelab kecil seperti ini, 135 kilometer (km) dari Kaherah dan jauh dari pusat sukan utama.

Pelatih di kelab Manshiya yang mempunyai satu bilik. — Agensi
Namun, Kelab Al-Shal dan Manshiya telah berjaya melahirkan juara negara dalam gusti dan judo, termasuk seorang remaja yang bakal mewakili Mesir di Sukan Olimpik Belia.
Pencapaian ini diraih meski menghadapi kekurangan dana, peralatan usang dan sokongan kerajaan yang tidak tetap.
Menurut data agensi statistik negara, CAPMAS, antara 2011 hingga 2023, populasi Mesir meningkat hampir sepertiga, tetapi bilangan kelab sukan menurun lebih 4 peratus.
Kebanyakan kelab dikendalikan oleh swasta dengan sumber yang sangat terhad.
Jurucakap Kementerian Belia dan Sukan, Mohamed Al-Shazly berkata, Mesir memberikan sokongan kewangan dan bukan kewangan secara penuh kepada kelab, tetapi bergantung kepada sumber tersedia dan perancangan kementerian melalui persekutuan setiap sukan.
Persekutuan pula sering menyalurkan dana kepada pasukan kebangsaan terlebih dahulu.
"Contohnya, daripada 1,000 pemain, hanya 10 terbaik disokong kerana mewakili Mesir.
"Kelab perlu menanggung kos latihan dan peralatan pemain lain sendiri," kata Setiausaha Agung Persekutuan Gusti Mesir, Ibrahim Moustafa.
Inilah yang membuatkan kelab seperti Al-Shal kelihatan ‘ajaib’.
"Sumber terhad, tetapi pencapaian hebat.
"Dewan cuma 3.5 meter (m) x 3.5m, hampir mustahil untuk lahirkan seorang juara. Tapi kami berjaya" ujar jurulatih Mahmoud Al-Wafaa’i yang melatih gadis-gadis terlibat secara sukarela kerana cintakan sukan.

Gadis muda sedang beraksi semasa sesi latihan judo. — Agensi
Membina asas
Al-Shal mencerminkan masalah struktur lebih luas di Mesir.
Data CAPMAS menunjukkan di banyak wilayah, kelab kerajaan mempunyai lebih ramai staf pentadbiran berbanding jurulatih.
Namun bagi pemenang pingat emas kebangsaan dan layak ke Sukan Olimpik Belia Dakar 2026, Rodaina Ahmed Gamal yang berusia 15 tahun, dia lebih selesa berlatih di sini berbanding kelab besar lain.
"Kami kira-kira 20 orang di dewan kecil ini, tapi rasa macam semua saling jaga antara satu sama lain," kata Rodaina.
Ibunya Rasha Mahmoud berkata, kelab menyediakan ruang dan jurulatih, tetapi keluarga perlu menanggung hampir semua kos lain.
"Rodaina mungkin masuk tiga kejohanan dalam sebulan. Tiga pendaftaran, tiga timbang badan, tiga penginapan. Saya yang bayar," jelasnya.
Bagi atlet lebih dewasa seperti Nadia Hazem Mahmoud, 20, yang kini dalam tahun kedua universiti, halangan juga datang daripada pandangan sosial.
"Ramai bertanya 'Macam mana gadis boleh main gusti?' Tapi saya anggap ia sebagai hobi.
"Apabila saya mula berjaya, saya mula cintakan sukan ini," katanya menambah, kekuatan yang diperoleh turut membantu gadis-gadis menjaga keselamatan mental dan fizikal mereka.
Kejayaan Rodaina menarik lebih ramai gadis muda dan membina asas kepada lebih 12 pelatih bawah 12 tahun, memberi ruang untuk mereka di kawasan berpendapatan rendah.
Mesir menghantar 148 atlet ke Olimpik Paris 2024 dan memenangi tiga pingat, tetapi di Mansoura, jauh dari sorakan Olimpik, masa depan sukan wanita masih bergantung pada kelab kecil seperti Al-Shal.
"Saya mula di sini, jadi saya mahu tamat di sini. Saya mahu bawa pulang pingat Afrika dari Kelab Al-Shal," kata Rodaina. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
