'Meronta bukan tidak mahu rawatan tapi sangat perlukan oksigen', bapa terkilan anak meninggal dunia, dakwa klinik cuai


  • Bonda
  • Jumaat, 09 Jan 2026

Seorang lelaki meluahkan rasa terkilan apabila anak lelakinya yang berusia empat tahun, Muhammad Yusof meninggal dunia dipercayai akibat kecuaian semasa menerima rawatan di sebuah klinik.

SEORANG bapa meluahkan rasa terkilan apabila anak lelakinya berusia empat tahun, Muhammad Yusof meninggal dunia dipercayai akibat kecuaian semasa menerima rawatan di sebuah klinik.

Menerusi satu hantaran di Facebook, bapa mangsa, Amir Mohd berkongsi kronologi kejadian yang bermula dengan keadaan kesihatan anaknya yang pada awalnya tidak menunjukkan sebarang tanda serius.

Menurut Amir, Muhammad Yusof tidak menghidap sebarang penyakit kronik. Kanak-kanak itu hanya mempunyai sejarah asma biasa yang datang dan pergi serta terkawal sebelum ini.

“Pagi itu Yusuf hanya mengalami selesema. Tiada tanda-tanda luar biasa. Tengah hari, dia mengadu sakit ‘tummy’ yang sebenarnya merujuk kepada sakit dada,” katanya.

BACA LAGI: Obses pembedahan plastik hingga sanggup suntik minyak masak, akhirnya begini wajah penyanyi, model Korea

BACA LAGI: Wanita 22 tahun lumpuh, nyaris maut akibat strok, waspada Gen Z juga berisiko terkena serangan otak

Bimbang dengan keadaan anak, ibu Muhammad Yusof meminta nenek kanak-kanak itu membawanya ke klinik berhampiran sebagai langkah berjaga-jaga.

Amir memaklumkan bahawa setibanya di klinik, anaknya masih sedar, boleh bercakap, mendengar arahan dan berada dalam keadaan stabil.

Katanya, bacaan oksigen ketika itu juga direkodkan pada paras normal iaitu 99 peratus. Tanpa pemeriksaan lanjut, Muhammad Yusof terus diberikan rawatan nebulizer.

Namun, selepas kira-kira 15 minit, bacaan oksigen kanak-kanak itu tiba-tiba menurun ke paras 90 hingga 91 peratus. Keadaan menjadi cemas apabila Muhammad Yusof mula meronta.

“Dia bukan meronta kerana tidak mahu rawatan, tetapi kerana ketika itu dia sangat memerlukan oksigen,” jelas Amir.

Tidak lama kemudian, Muhammad Yusof rebah dan pengsan di atas riba datuknya.

Nadi dan jantungnya terhenti sehingga menyebabkan kakitangan klinik melakukan CPR di premis tersebut sambil menunggu ketibaan ambulans.

Bagaimanapun, Amir berkata, bekalan oksigen di klinik itu telah habis dan tiada stok simpanan ketika kecemasan berlaku.

“CPR dibuat di atas sofa. Oksigen tiada. Kami terpaksa menunggu ambulans untuk mendapatkan bantuan lanjut,” katanya.

Muhammad Yusof kemudiannya dikejarkan ke hospital dan CPR diteruskan hampir 30 minit sebelum jantungnya kembali berdenyut.

Namun, hasil imbasan mendapati otaknya mengalami kerosakan teruk akibat kekurangan oksigen dan aliran darah ke otak, dikenali sebagai Severe Hypoxic Ischemic Encephalopathy (HIE).

Keadaan tersebut menyebabkan otaknya membengkak dan disahkan tidak lagi berfungsi. Muhammad Yusof ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dengan sokongan mesin dan ubat-ubatan.

“Kami hanya mampu memeluk dan mencium anak kami, kerana doktor beritahu bila-bila masa sahaja dia boleh pergi,” katanya.

Tepat pukul 5 petang, Muhammad Yusof disahkan meninggal dunia, ketika kedua-dua ibu bapanya tidak berada di sisi iaitu ibunya sedang menunaikan solat Asar manakala Amir keluar membeli makanan.

Dalam hantaran sama, Amir turut mendakwa pihak klinik gagal memaklumkan situasi sebenar kepada hospital serta tidak menyerahkan sebarang laporan bertulis berkaitan kejadian tersebut.

“Kami sendiri terpaksa kembali ke klinik untuk mendapatkan penjelasan. Pihak klinik akhirnya mengakui kesilapan yang berlaku,” katanya.

Amir menyifatkan kehilangan anaknya sebagai kehilangan yang tidak mampu diganti dan akan dirasai sepanjang hayat.

“Anak saya pergi secara mengejut. Bukan kerana sakit kronik, tetapi kerana kecuaian,” katanya.

Perkongsian itu mencetuskan reaksi meluas dalam kalangan orang ramai dan menimbulkan persoalan mengenai tahap kesiapsiagaan serta pematuhan prosedur kecemasan di klinik, khususnya melibatkan rawatan kanak-kanak.

"Patutnya ceklah dulu tangki tu banyak mana dah tinggal. Bila budak duk merontanya paksa pulak budak tu pakai mask ibarat serkup dengan plastiklah. Lemas budak tu tak dapat oksigen," kata Ailyn Mikey.

"Besar ujian, ganjaran juga besar. ALLAH nak angkat darjat. Semoga ibu ayah di kurnia ketabahan hidup," kata Abu Musyrif. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram