UNIVERSITI Malaya (UM) akan memperluas dan menambah bilik pembedahan baharu di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) susulan kejayaan melakukan pemindahan hati ke atas seorang bayi lelaki berusia empat bulan, yang juga penerima pemindahan hati termuda di Malaysia.
Naib Canselor UM, Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman berkata, kejayaan tersebut membuktikan keupayaan pasukan perubatan PPUM mengendalikan pembedahan yang amat kompleks dan berisiko tinggi melalui kerjasama pelbagai kepakaran.
“Kejayaan ini adalah hasil kerja berpasukan melibatkan lebih 45 pakar dan kakitangan daripada pelbagai bidang yang bersatu dengan satu tujuan iaitu menyelamatkan nyawa,” katanya dalam satu kenyataan.
BACA LAGI: Wanita 22 tahun lumpuh, nyaris maut akibat strok, waspada Gen Z juga berisiko terkena serangan otak
Pembedahan itu melibatkan pakar bedah, pakar pediatrik, pakar bius, pakar rawatan rapi, pakar radiologi serta jururawat yang bekerja dengan penuh ketelitian dan ketenangan dalam situasi kritikal.
Dr Noor Azuan berkata, beliau turut berkesempatan melawat bayi berkenaan dan bertemu ibu bapanya selepas pembedahan berjaya dilakukan.
“Saya sempat bertemu ibu bapa bayi tersebut dan melihat sendiri keadaan anak mereka yang kini semakin stabil. Melihat perubahan itu adalah satu pengalaman yang sangat menyentuh hati,” katanya.
Beliau berkata, ibu bapa bayi berkenaan turut meluahkan rasa syukur dan merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan PPUM atas usaha dan pengorbanan yang diberikan sepanjang tempoh rawatan.
Pasukan Pemindahan Hati PPUM diketuai oleh Prof Madya Dr Koh Peng Soon selaku Pengerusi Pasukan Pemindahan Hati dan Perunding Kanan Pembedahan Hepatobiliari, bersama barisan pakar kanan daripada bidang pembedahan pediatrik, gastroenterologi pediatrik, rawatan rapi pediatrik, anestesiologi, pembedahan plastik dan radiologi.
Kejayaan itu turut dicapai di bawah kepimpinan Pengarah PPUM, Prof Dr Mohd Zulkiflee Abu Bakar, dengan sokongan Timbalan Pengarah (Pembedahan), Prof Dr Nor’azim Mohd Yunus yang menyelaras keseluruhan operasi dan pasukan terlibat.
UM dalam masa sama mengenang jasa Profesor Madya Adjung Dr Yoong Boon Koon, perintis dan pengasas Pasukan Pemindahan Hati PPUM, yang legasinya terus menjadi inspirasi kepada kejayaan pasukan sehingga kini.
Selain aspek klinikal, kejayaan ini turut disokong oleh penyelidikan Universiti Malaya apabila dapatan klinikal pasukan PPUM diterbitkan dalam jurnal antarabangsa Pediatric Surgery International dan digunakan sebagai rujukan oleh pakar perubatan di peringkat global. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
