SIAPA sangka wanita berusia 62 tahun ini masih boleh mengandung dan menantikan kelahiran anak kedua, lebih-lebih lagi setelah kehilangan anak tunggal pada awal tahun lalu.
Kisah luar biasa itu tular di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai reaksi hangat dalam kalangan warga maya.
Wanita dari Songyuan, wilayah Jilin, China berkenaan kini hamil enam bulan melalui kaedah persenyawaan in vitro (IVF).
BACA LAGI: Wanita 22 tahun lumpuh, nyaris maut akibat strok, waspada Gen Z juga berisiko terkena serangan otak
Baginya, bayi dalam kandungan seumpama 'pulangan' bagi anak lelakinya yang telah meninggal dunia.
Setiap perkembangan kehamilan dikongsi secara berkala oleh adik perempuannya di platform media sosial menggunakan alias ‘Xiao Wei’.
Dalam video yang dikongsi pada penghujung Disember, wanita tersebut kelihatan tenang dan gembira.
“Saya rasa bayi ini akan lahir lebih awal daripada jangkaan. Setiap kali saya makan manisan, bayi ini suka menendang perut saya," katanya.
Di China, doktor dilarang mendedahkan jantina bayi kepada ibu mengandung bagi mengelakkan fenomena pengguguran berasaskan jantina.
Namun, wanita berusia 62 tahun itu yakin bayi yang dikandung adalah lelaki.
“Ramai yang kata sebab saya suka makan manisan, bayi ini pasti lelaki. Jadi ia seperti kepulangan anak saya,” katanya.
Kehamilan pada usia lanjut membawa risiko kesihatan yang sangat tinggi.
Wanita berkenaan menjalani pemeriksaan pranatal lebih kerap berbanding wanita muda.
Bagi beberapa pemeriksaan kritikal, dia dan adiknya terpaksa ke pusat perubatan besar di Changchun, ibu negeri Jilin, sejauh 170 km dari Songyuan.
“Secara prinsip, kami tidak menggalakkan wanita mengandung pada usia yang sangat lanjut kerana risiko komplikasi sangat tinggi.
“Komplikasi semasa kehamilan boleh meningkat berkali ganda. Kaedah bersalin secara pembedahan Caesarean mungkin perlu dilakukan, tetapi ianya juga berisiko.
"Jika seseorang wanita benar-benar berhasrat hamil pada usia lanjut, dia harus menjalani penilaian kesihatan menyeluruh sebelum kehamilan, mengikuti nasihat doktor dengan ketat dan bersalin di hospital besar yang lengkap dengan kemudahan kecemasan," kata seorang pakar obstetrik kanan di Hospital No. 1 Harbin, Wilayah Heilongjiang, Chen Min.
Reaksi masyarakat terhadap keputusan wanita berusia 62 tahun itu berbeza-beza.
Ada yang meragui keupayaannya menjaga anak dan risau anak itu akan menjadi yatim jika ibu bapa meninggal dunia terlebih dahulu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
