Suami jual ubi keledek demi kumpul kos rawatan kanser isteri tergamam terima hadiah daripada penderma misteri


  • Cinta
  • Khamis, 08 Jan 2026

Jia Changlong nekad menjual ubi keledek di tepi jalan bagi menampung kos rawatan kanser isterinya.

SIAPA sangka perjuangan seorang suami menyelamatkan nyawa isteri tercinta akhirnya disambut dengan keikhlasan luar biasa daripada seorang insan tidak dikenali.

Itulah dialami oleh Jia Changlong, 35, apabila usaha menjual ubi keledek di tepi jalan bagi menampung kos rawatan kanser isteri membawa kepada satu kejutan besar iaitu sumbangan 50 tan hasil pertanian daripada penderma misteri.

Jia dilihat berniaga di sebuah pasar pagi di Jinan, wilayah Shandong, China, dengan hanya sebuah gerai ringkas dan papan tanda bertulis 'Jualan amal tanda syukur'.

BACA LAGI: Obses pembedahan plastik hingga sanggup suntik minyak masak, akhirnya begini wajah penyanyi, model Korea

BACA LAGI: Wanita 22 tahun lumpuh, nyaris maut akibat strok, waspada Gen Z juga berisiko terkena serangan otak

Di sebalik jualan ubi keledek itu tersimpan kisah pengorbanan seorang suami yang enggan menyerah kalah walaupun hidup semakin terhimpit.

Untuk rekod, Jia dan isterinya, Li, merupakan rakan sekelas sejak di bangku sekolah menengah. 

Mereka kemudian mendirikan rumah tangga dan kini dikurniakan seorang anak lelaki berusia lapan tahun. 

Pasangan itu menetap di Yantai, Shandong dan menjalani kehidupan sederhana sebelum musibah melanda.

Pada Julai lalu, Li disahkan menghidap leukemia myeloid akut, sejenis kanser darah yang agresif. 

Jia menerima jumlah penuh ubi keledek secara berkelompok.

Selepas menjalani rawatan awal di hospital, Li kini berehat di rumah sementara menunggu rawatan seterusnya.

Menurut Jia, setakat ini, mereka telah membelanjakan kira-kira RM203,000 (350,000 yuan) bagi rawatan isterinya.

“Wang itu datang daripada simpanan kami dan pinjaman daripada rakan serta saudara-mara. Sekarang kami sudah meminjam daripada semua orang yang kami mampu. Saya juga sudah menjual komputer saya. Tiada apa lagi yang boleh dijual,” katanya.

Langkah seterusnya iaitu pemindahan sumsum tulang, dianggarkan menelan kos sekitar RM232,000 (400,000 yuan) , manakala keseluruhan rawatan boleh mencecah RM1,160,000 (2,000,000 yuan) sekiranya rawatan ubat sasaran diperlukan.

“Saya cuma mahu kami berdua dapat melihat anak kami membesar bersama. Itu sahaja harapan kami,” luahnya.

Kisah Jia yang dikongsikan di media sosial mula menarik perhatian ramai. 

Namun, kejutan sebenar hadir pada pertengahan Disember ketika Jia menaiki kereta api dari Yantai ke Jinan untuk berjumpa doktor isterinya.

Dalam perjalanan itu, beliau menerima satu permintaan rakan (request friend) di media sosial daripada seorang lelaki, Fang, 50, yang menawarkan untuk mendermakan kira-kira 50 tan ubi keledek miliknya.

“Jual sahaja dan gunakan wang itu untuk rawatan isteri kamu. Saya akan hantar secara berperingkat. Kamu cuma perlu cari tempat simpanan,” kata Fang kepada Jia.

Fang kemudian memberitahu media tempatan bahawa dia merupakan petani yang turut mengumpul hasil pertanian daripada petani lain.

Ubi keledek yang didermakan itu adalah sebahagian daripada hasil tuaian tahun ini.

Memandangkan Jia tidak mempunyai ruang simpanan besar, penghantaran dibuat secara berperingkat menggunakan lori, bermula dengan kumpulan pertama seberat 1,000 kilogram.

“Dia seorang lelaki yang bertanggungjawab dan sedang melalui saat yang sangat sukar. Jika saya mampu membantu, saya akan membantu,” kata Fang ringkas.

Menjelang 25 Disember, kumpulan pertama ubi keledek itu habis terjual sehingga memberikan Jia pendapatan sekitar RM2,900 (5,000 yuan). 

Kumpulan kedua seberat 2,000 kilogram pula sedang dalam perjalanan.

Jia tidak dapat menahan sebak apabila mengenang bantuan yang diterimanya.

“Lelaki itu seperti cahaya yang menyinari hidup saya ketika saya berada di titik paling gelap. Saya benar-benar tidak tahu bagaimana mahu membalas kebaikannya,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram