DI sebalik kelazatan biskut rangup dan kek gebu, dunia pembuatan pastri atau membakar kini diiktiraf bukan sekadar aktiviti dapur, malah menjadi satu bentuk terapi emosi yang mampu memberikan ketenangan pada hari-hari suram.
Aktiviti itu merangkumi elemen kreativiti, hubungan sosial,dan kawalan kendiri.
Struktur pembuatan pastri yang memerlukan ketelitian dalam menyukat dan mengadun ramuan menawarkan satu bentuk keteraturan di tengah-tengah kekalutan hidup seharian.
BACA LAGI: Trend rawatan kecantikan DIY di rumah makin popular di Korea Selatan
BACA LAGI: Jangan semberono ikut 'nasihat' pempengaruh perihal perubatan, pakar gesa kawalan ketat
Menurut pemilik kedai roti Flour Bakery di Boston, Amerika Syarikat, Joanne Chang, membakar pastri adalah cara terbaik untuk berinteraksi dengan dunia luar.
Beliau percaya bahawa menghasilkan sesuatu yang indah dengan tangan sendiri mampu menjadikan dunia terasa lebih manis.
Bagi sesetengah individu, aktiviti di dapur ini juga menjadi saluran pelepasan perasaan atau katarsis.
Istilah rage baking yang dipopularkan oleh penulis Tangerine Jones, menunjukkan bagaimana kemarahan terhadap ketidakadilan dunia boleh disalurkan secara positif melalui adunan tepung dan gula.
Aspek sains juga menjadi daya tarikan utama. Hannah Skobe, seorang calon doktor falsafah dalam bidang astrofizik, menggemari aspek kimia dalam pembuatan pastri, seperti tindak balas mentega pada suhu berbeza atau struktur protein dalam putih telur.
Beliau menyifatkan proses tersebut sebagai satu bentuk terapi yang amat diperlukan bagi meredakan tekanan kerja.
Baginya, melihat rakan sepejabat menikmati kek pisang hasil air tangannya memberikan kepuasan yang tidak ternilai.
Bagi cef terkemuka New York, Ron Ben-Israel, minatnya bermula sejak kecil apabila melihat perubahan tekstur bahan melalui teknik tertentu, terutamanya proses menukar putih telur menjadi mereng (meringue).
Elemen nostalgia turut memainkan peranan penting dalam aktiviti ini. Resepi turun-temurun keluarga seperti pastri tradisional rugelach atau pai khas ketika musim perayaan menjadi jambatan yang menghubungkan seseorang dengan kenangan masa lalu.
Pemilik blog Lily P. Crumbs, Alex George, pula menekankan kepuasan deria apabila menyentuh bahan mentah secara fizikal. Di dunia yang kini didominasi oleh skrin digital, aktiviti memecahkan telur dan menguli doh menawarkan kepuasan yang nyata.
Bagi Bernard Wong, seorang pembuat pastri amator di New York, hobi ini membolehkan beliau meneroka teknik-teknik baharu seperti tangzhong dari China dan yudane dari Jepun untuk menghasilkan roti yang lebih lembut.
Beliau turut menegaskan bahawa membakar pastri sendiri adalah lebih ekonomis. Walaupun menggunakan bahan premium seperti coklat jenama Callebaut atau Valrhona, kosnya tetap lebih rendah berbanding membeli produk siap di pasaran.
Selain menjimatkan, hasil air tangan ini juga merupakan medium komunikasi emosi yang berkesan. Pemberian sekeping kek atau biskut boleh membawa maksud "saya rindu awak" atau sebagai sokongan moral ketika seseorang sedang berduka.
Pada intinya, aktiviti membakar pastri membawa mesej harapan. Ia bukan sekadar tentang memberi makan atau meraikan sesuatu, tetapi kepercayaan bahawa jika langkah dan sukatan diikuti dengan betul, sesuatu yang baik pasti akan terhasil.
Sama ada ia sekadar hobi atau kerjaya, seni pembuatan pastri terbukti mampu mencipta detik tenang dalam dunia yang serba pantas, sekali gus menyembuhkan jiwa yang lara melalui aroma yang menyelerakan dari ketuhar. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
