Tak bergantung emosi mahupun tuntut harta, wanita kongsi rakan dirikan rumah tangga hanya untuk sempurnakan agama


  • Cinta
  • Selasa, 06 Jan 2026

Segelintir wanita memilih mendirikan rumah tangga sebagai usaha menyempurnakan agama, tanpa meletakkan kebergantungan emosi sepenuhnya terhadap pasangan. — Gambar hiasan/Janaan AI

UNTUK mendirikan rumah tangga, kebanyakan pasangan meletakkan cinta sebagai asas utama.

Namun, bagi sesetengah individu, perkahwinan bukan soal rasa sayang yang berlebihan, sebaliknya satu keputusan untuk menyempurnakan tuntutan agama dan mengawal kebergantungan emosi terhadap manusia.

Baru-baru ini, seorang wanita tampil berkongsi kisah rakannya yang memilih untuk mendirikan rumah tangga bukan atas dasar cinta mendalam, sebaliknya sebagai usaha menyempurnakan agama dan mendekatkan diri kepada Tuhan.

BACA LAGI: Sabida Thaiseth wanita Islam pertama galas jawatan Menteri Kebudayaan Thailand, beza agama, etnik bukan halangan

BACA LAGI: Bukan sekadar hasil kek, biskut, 'baking' kini jadi terapi 'rawat' emosi melalui adunan tepung, gula

Perkongsian itu dibuat menerusi ruangan komen di sebuah hantaran di Threads yang bertanyakan sama ada wujud wanita yang berkahwin tanpa meletakkan rasa cinta melampau terhadap suami, namun masih mampu menjalani kehidupan rumah tangga yang bahagia.

Menurut wanita berkenaan, rakannya mempunyai prinsip hidup yang jarang dilihat dalam kebanyakan perkahwinan masa kini apabila tidak menjadikan suami sebagai sandaran emosi, kewangan atau makna hidup sepenuhnya.

"Dia kahwin sebab nak jadikan perkahwinan itu jalan mudah ke syurga.

"Dari segi ekonomi, dia yang menyokong keluarga sepenuhnya kerana dia lebih berkemampuan berbanding suaminya," kongsinya.

Tambahnya, rakannya juga tidak berkira soal harta atau sumbangan kewangan daripada suami, termasuk apabila lelaki itu menerima wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM10,000 tetapi tidak menghulurkan sebarang bahagiannya.

"Dia tidak ambil kisah langsung. Kalau suami keluar jauh pun, dia tidak mewajibkan untuk sentiasa berhubung.

"Baginya, itu bukan ukuran kebahagiaan atau kasih sayang," ceritanya lagi.

Wanita itu turut mendedahkan, rakannya berkahwin semata-mata untuk menyempurnakan tuntutan agama bukan kerana kebergantungan emosi terhadap pasangan.

Selain itu, beliau juga berkongsi cara rakannya mengurus emosi ketika berdepan kehilangan insan tersayang.

Menurutnya, rakannya tidak menangis ketika ibunya meninggal dunia kerana percaya perpisahan di dunia hanyalah sementara.

"Dia kata nanti di syurga akan berjumpa semula. Dia tidak meletakkan cinta mutlak pada manusia, tetapi hanya kepada Tuhan.

"Namun, dia tetap baik kepada makhluk ALLAH yang lain," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram