KEDUTAAN China di Phnom Penh, Kemboja pada Isnin mengeluarkan kenyataan berhubung seorang pempengaruh terkenal dari China yang didakwa dibawa ke Kemboja dengan janji pekerjaan bergaji tinggi, akhirnya didapati tiada tempat tinggal.
Menurut laporan agensi, pempengaruh terlibat yang mempunyai kira-kira 58,000 pengikut ditemui dalam keadaan yang jauh berbeza daripada imej glamornya di media sosial.
Kes itu menjadi tular di China, bermula dengan kehilangan 'Umi', nama pentasnya.
BACA LAGI: Sangka gadis umur 20-an, anggota tentera pucat kekasih rupanya murid darjah 6
Wanita berusia 20-an itu memberitahu keluarganya, beliau akan ke Kemboja selepas dijemput oleh teman lelakinya dari China yang tinggal di sana untuk membina masa depan yang lebih baik bersama.
Selepas 26 hari tanpa sebarang khabar berita, beliau ditemui di tepi jalan di Kemboja, dipercayai hidup dalam keadaan sukar.
beliau memegang filem X-ray yang menunjukkan kecederaan pada kedua-dua kakinya dengan tanda-tanda serangan yang jelas dan kelihatan keliru serta sukar bercakap.
Seorang warganegara China yang berada di kawasan itu dilaporkan tampil membantu.
Sebelum ini, keluarganya telah memohon bantuan daripada Kedutaan China di Phnom Penh.
Kedutaan bertindak pantas dengan menghubungi pelbagai pihak, termasuk polis Kemboja dan kenalan tempatan untuk mengesan lokasi wanita itu.
Pejabat konsular di Sihanoukville kemudian menemuinya pada petang Sabtu di sebuah hospital di mana dia dilaporkan berada dalam keadaan fizikal yang sangat lemah.
Pihak berkuasa mengatur pemindahannya ke hospital lain untuk rawatan segera dan berkata dia akan dipulangkan ke China selepas keadaannya stabil.
Sebelum insiden ini, wanita yang dikenali dengan nama keluarga Wu itu terkenal dengan perkongsian gaya hidup mewah di media sosial dan dikatakan bekerja di sebuah kelab eksklusif di wilayah Fujian.
Awal Disember tahun lalu, dia membuat siaran langsung dan berkongsi di media sosial bahawa teman lelakinya yang bekerja di Kemboja, menjemputnya untuk menyertainya di sana.
Beliau juga membangga-banggakan bahawa teman lelakinya menjalankan perniagaan besar dan serius dengan hubungan mereka, malah mahu tinggal bersama.
Walaupun sudah diberi amaran oleh orang di sekelilingnya dan pengikutnya, beliau tetap pergi.
Pengguna media sosial di China terkejut melihat foto terkininya, ramai yang sukar membayangkan apa yang telah dilaluinya dan bagaimana boleh berakhir dalam keadaan sedemikian, sambil menyatakan rasa hiba terhadap keluarganya. —Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
