SIAPA sangka perubahan kecil pada tubuh anak akan membawa kepada satu diagnosis yang membimbangkan iaitu akil baligh pramatang.
Itulah realiti dihadapi seorang ibu, Fairuz Roselle, apabila anak perempuannya berusia tujuh tahun disahkan mengalami precocious puberty selepas menunjukkan beberapa perubahan fizikal yang tidak selari usia.
Menurut Fairuz, perubahan itu mula disedari sejak anaknya masih di tadika apabila ketinggiannya meningkat dengan ketara berbanding rakan sebaya.
BACA LAGI: Wanita 22 tahun lumpuh, nyaris maut akibat strok, waspada Gen Z juga berisiko terkena serangan otak
Namun pada awalnya, keadaan tersebut tidak dianggap luar biasa.
“Kami nampak dia tinggi semacam daripada kawan-kawan sebaya. Tapi masa itu fikir mungkin genetik atau pembesaran biasa,” katanya dalam satu hantaran di Threads.
Kebimbangan mula timbul apabila bau badan yang kuat muncul lebih awal, diikuti perubahan pada bahagian dada ketika anaknya berusia tujuh tahun.

Rundingan bersama pakar endokrinologi pediatrik penting bagi diagnosis dan rawatan akil baligh pramatang. — Gambar hiasan
Naluri seorang ibu membuatkan Fairuz mengambil keputusan untuk mendapatkan pandangan pakar.
Pemeriksaan lanjut oleh pakar endokrinologi mengesahkan anaknya mengalami akil baligh pramatang dan kini sedang menjalani rawatan penekanan hormon untuk beberapa tahun akan datang.
“Kami lega sebab masih belum terlambat. Sekurang-kurangnya sekarang tahu apa yang sedang berlaku dan boleh rawat,” katanya.
Fairuz turut berkongsi bahawa perkembangan anaknya ketika bayi adalah normal, tanpa masalah berat badan berlebihan dan ketinggian juga dalam julat biasa.
Namun, perubahan ketara mula berlaku sekitar usia lima tahun termasuk perubahan emosi seperti mood swing dan tantrum.
Perbandingan dengan anak sulungnya yang kini berusia 13 tahun turut menguatkan rasa tidak sedap hati.
Anak sulungnya hanya mula haid pada usia 12 tahun, jauh berbeza dengan perkembangan anak bongsu.
Daripada situ, Fairuz dan suami mula mencatat setiap perubahan yang berlaku termasuk rutin harian, pemakanan, persekitaran dan kehidupan sosial anak di sekolah.
Beberapa lawatan ke klinik juga dilakukan, namun pandangan yang diterima berbeza-beza dengan ada yang mengatakan ia normal, ada yang mencadangkan pemeriksaan lanjut.
Akhirnya, mereka mendapatkan surat rujukan sebelum bertemu pakar endokrinologi pediatrik.
“Dalam Malaysia, pakar endokrin pediatrik tak ramai. Tapi kes seperti ini makin meningkat. Jadi ibu bapa memang kena lebih peka,” katanya.
Fairuz turut mengakui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuka ruang untuk menilai semula rutin harian di rumah, termasuk penggunaan minyak pati, pewangi pakaian, produk penjagaan diri serta diet anak.
Isu ini sekali gus menjadi peringatan kepada ibu bapa agar lebih peka terhadap perubahan kecil pada anak-anak dan tidak teragak-agak mendapatkan nasihat pakar apabila naluri berasa ada sesuatu yang tidak kena.
Susulan kes sebegitu semakin kerap berlaku kebelakangan ini, Public Health Malaysia tampil mengingatkan ibu bapa agar tidak memandang ringan perubahan fizikal awal pada kanak-kanak yang sering disalah anggap sebagai ‘cepat matang’.

Perubahan kecil pada anak boleh jadi petanda akil baligh pramatang, ibu bapa perlu lebih peka. — Gambar hiasan
Dalam hantaran di Facebook, Public Health Malaysia menyatakan bahawa gangguan hormon boleh berlaku akibat pendedahan kepada bahan kimia tertentu dalam persekitaran dan produk haria, yang berupaya menjejaskan hormon reproduktif, tiroid, metabolisme serta perkembangan kanak-kanak.
Antara faktor dibincangkan adalah pendedahan kepada bahan seperti phthalates, phenols dan parabens yang lazim terdapat dalam produk penjagaan diri.
Kajian terhadap manusia menunjukkan wujud kaitan antara pendedahan bahan ini dengan perubahan corak akil baligh dalam kalangan kanak-kanak perempuan.
Public Health Malaysia turut memberi amaran mengenai penggunaan krim gatal yang mengandungi steroid kuat.
"Penggunaan tanpa kawalan terutama dalam tempoh lama, kerap atau pada kawasan luas boleh menyebabkan gangguan hormon serius termasuk sindrom cushing iatrogenic, yang turut dilaporkan berlaku dalam kalangan kanak-kanak," katanya.
Selain itu, penggunaan minyak pati seperti lavender dan tea tree juga pernah dikaitkan dengan kes pembesaran payudara prabaligh pada kanak-kanak lelaki, walaupun bukti keseluruhan masih terhad dan tidak cukup kuat untuk dibuat kesimpulan umum.
Public Health Malaysia menegaskan beberapa tanda amaran yang perlu diberi perhatian serius oleh ibu bapa.
Antaranya, tanda akil baligh terlalu awal, pembesaran payudara pada kanak-kanak lelaki, peningkatan berat badan mendadak tanpa sebab jelas serta corak tumbesaran yang kelihatan luar biasa.
Sebagai langkah pencegahan, ibu bapa disaran mengelakkan memanaskan makanan dalam bekas plastik, mengurangkan penggunaan produk pewangi kuat untuk kanak-kanak, tidak menggunakan krim steroid tanpa nasihat perubatan, serta menghentikan penggunaan minyak pati sekiranya terdapat perubahan fizikal yang mencurigakan.
“Tak perlu rasa bersalah. Banyak perkara kita buat kerana sayang. Tapi bila melibatkan hormon, kepekaan awal itu adalah bentuk perlindungan paling besar untuk anak,” menurut Public Health Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
