SEBUAH mercu tanda seni bina yang memukau di barat daya China kini menarik perhatian dunia apabila Bangunan Antarabangsa Liebian tampil dengan keunikan air terjun buatan setinggi 108 meter yang mengalir pada fasad kaca pencakar langit tersebut.
Bangunan berketinggian 121 meter itu terletak di daerah pusat perniagaan Guiyang dan telah menjadi bualan hangat di media sosial kerana menggabungkan seni bina komersial dengan elemen kejuruteraan semula jadi yang luar biasa.
Meskipun fungsi utamanya adalah sebagai ruang pejabat, pusat beli-belah dan hotel mewah, tarikan paling menonjol sudah pastinya curahan air terjun gergasi yang bermula dari bahagian atas menara sehingga ke dataran di bawahnya.
BACA LAGI: Kedai barang terpakai lubuk 'harta karun' pereka hiasan dalaman, pasu, mangkuk kaca paling popular
BACA LAGI: Pengayuh basikal kreatif ubah lebih 700 rim roda terbuang jadi karya seni
Ciri unik itu direka oleh Ludi Industry Group dan diiktiraf sebagai antara air terjun buatan tertinggi di dunia yang disepadukan pada bangunan pencakar langit.
Dari aspek teknikal, air terjun itu bukan aliran semula jadi, sebaliknya dikuasakan oleh empat pam berkuasa tinggi yang dipasang di bahagian asas bangunan.
Pam tersebut berfungsi mengangkat air daripada takungan bawah tanah ke bahagian bumbung sebelum dialirkan ke bawah melalui sistem saluran khas.
Bagi mengurangkan impak alam sekitar, sumber air yang digunakan sebahagian besarnya diperoleh daripada air hujan yang disimpan serta air kitar semula.
Namun, kos pengoperasian dan penyelenggaraan sistem itu kekal menjadi cabaran utama.
Laporan mendedahkan bahawa kos untuk menjalankan air terjun tersebut dianggarkan mencecah 800 yuan (kira-kira RM520) sejam berikutan penggunaan tenaga elektrik yang tinggi untuk mengepam air setinggi 121 meter.
Disebabkan kos operasi yang mahal, air terjun ini tidak diaktifkan secara berterusan, sebaliknya hanya dipasang pada waktu tertentu atau semasa sambutan majlis khas sahaja.
Walaupun inovasi itu mencetuskan rasa kagum di peringkat global, ia tidak terlepas daripada kritikan segelintir pihak yang menyifatkannya sebagai tidak praktikal selain mempersoalkan kegunaannya untuk jangka masa panjang.
Namun begitu, Bangunan Antarabangsa Liebian kini secara rasmi menjadi ikon budaya dan mercu tanda penting bagi bandar Guiyang, sekali gus membuktikan trend seni bina kontemporari yang mementingkan aspek visual selain fungsi bangunan.
Pencapaian itu menunjukkan keberanian jurutera dalam menolak sempadan reka bentuk bangunan moden untuk mencipta identiti unik bagi sesebuah bandar raya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
