SIAPA sangka, kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dari Bijie, Wilayah Guizhou, China kini mampu berjalan dengan stabil selepas menjalani rawatan pemulihan untuk dysplasia pinggul (DDH) sejak usia setahun.
Pada awalnya, kanak-kanak itu, Tiantian sering jatuh dan berjalan bertongkat dengan badan bergoyang ke kiri dan kanan.
Ibunya, Wu, membawa anaknya ke tiga hospital di ibu negeri Guizhou, Guiyang sebelum diagnosis sebagai DDH.
BACA LAGI: Wanita 22 tahun lumpuh, nyaris maut akibat strok, waspada Gen Z juga berisiko terkena serangan otak
Doktor mencadangkan pembedahan pada usia tiga tahun untuk membuang sebahagian tulang pinggul.
Tidak berpuas hati, Wu dan suaminya membawa Tiantian ke sebuah hospital terkemuka di Nanjing, Wilayah Jiangsu, di mana doktor melakukan terapi manipulatif.
Selepas itu, Wu membantu anaknya berjalan sebanyak mungkin, menggalakkan Tiantian untuk berdiri sendiri setiap kali jatuh, sambil memberi ganjaran mainan kecil bagi setiap kemajuan.
Wu turut menggunakan kaedah praktikal untuk latihan harian.
Beliau berjalan sambil membongkok di depan anak supaya Tiantian berpaut pada belakangnya.
Mereka juga bermain permainan itik, di mana Tiantian menjadi anak Itik dan Wu menjadi ibu itik, manakala abang dan kakak Tiantian turut menyertai.
Latihan otot dilakukan setiap hari, termasuk semasa cuti Tahun Baru Cina.
Video dikongsi di media sosial menunjukkan perkembangan Tiantian, yang akhirnya pada bulan September tidak lagi perlu memakai brace ortopedik.
“Ramai orang pernah menatap dan mengejeknya ketika berjalan di tempat awam. Kami tetap optimis dan memberikan kasih sayang sepenuhnya. Sesetengah orang memanggil saya hebat, tetapi saya hanya melakukan apa yang seorang ibu sepatutnya lakukan," kata Wu yang mengimbas kembali cabaran itu.
Pakar menekankan bahawa kanak-kanak dengan simptom DDH harus diperiksa awal dan menjalani rawatan segera.
Proses pemulihan biasanya mengambil masa kira-kira setahun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
