Larangan wanita guna telefon pintar di India ditarik balik


  • Maya
  • Jumaat, 26 Dis 2025

Pemimpin masyarakat di Rajasthan menarik balik sekatan penggunaan telefon pintar terhadap golongan wanita. - Freepik

PEMIMPIN masyarakat di daerah Jalore, Rajasthan, India secara rasmi menarik balik arahan larangan penggunaan telefon pintar terhadap golongan wanita selepas keputusan tersebut menerima tentangan hebat daripada pelbagai pihak.

Keputusan pembatalan itu dicapai dalam satu mesyuarat melibatkan ketua-ketua kampung (panchas) yang diadakan di Kampung Gazipur pada Khamis.

Terdahulu, dalam satu perjumpaan komuniti Chaudhary pada 21 Disember lalu, satu ketetapan telah dibuat untuk melarang anak perempuan dan menantu perempuan dari 15 buah kampung daripada menggunakan telefon pintar bermula 26 Januari depan.

BACA LAGI: Pengayuh basikal kreatif ubah lebih 700 rim roda terbuang jadi karya seni

BACA LAGI: Jangan semberono ikut 'nasihat' pempengaruh perihal perubatan, pakar gesa kawalan ketat

Menurut wakil komuniti, larangan tersebut pada asalnya dicadangkan demi kepentingan dan kebajikan kanak-kanak, namun mendakwa tujuan sebenar keputusan itu telah salah difahami oleh orang ramai.

Jurucakap komuniti, Natharam Chaudhary menjelaskan bahawa cadangan itu timbul selepas menerima aduan daripada golongan ibu mengenai tabiat anak-anak mereka.

Beliau berkata, kanak-kanak didapati terus menggunakan telefon pintar sejurus pulang dari sekolah sehingga mengabaikan waktu makan dan waktu belajar.

"Mereka menghabiskan masa sepanjang hari menonton video, yang mana ia memberi kesan buruk kepada perkembangan otak serta kesihatan mata," katanya.

Selain itu, kebimbangan mengenai peningkatan kes penipuan siber dan eksploitasi terhadap wanita serta gadis turut menjadi faktor cadangan larangan tersebut diusulkan.

Menerusi arahan asal yang dikeluarkan sebelum ini, wanita hanya dibenarkan menggunakan telefon jenis papan kekunci (feature phone) untuk tujuan komunikasi suara sahaja.

Bagi pelajar sekolah yang memerlukan telefon pintar untuk tujuan pembelajaran, mereka hanya dibenarkan menggunakannya di dalam rumah.

Arahan itu juga menyatakan bahawa penggunaan telefon pintar dilarang sama sekali ketika menghadiri majlis perkahwinan, fungsi sosial, mahupun semasa berkunjung ke rumah jiran.

Bagaimanapun, pihak berkuasa kampung menegaskan bahawa cadangan tersebut bersifat saranan dan tiada mana-mana individu yang terikat secara undang-undang untuk mematuhinya.

Tempoh satu bulan sebelum itu diberikan sebagai fasa pemerhatian untuk melihat penerimaan masyarakat sebelum pelaksanaan penuh dilakukan pada hari sambutan kebangsaan India nanti.

Namun, susulan bantahan meluas di beberapa lokasi, pemimpin masyarakat bersetuju untuk membatalkan sepenuhnya arahan tersebut bagi mengelakkan kekeliruan berpanjangan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram