Baca buku sebelum tidur, muhasabah 4 pagi, rutin 'kecil' pelajar Oxford bina hidup lebih sukses 2026


  • Sukses
  • Ahad, 28 Dis 2025

Azida berkongsi beberapa tabiat harian ringkas yang disifatkannya sebagai titik perubahan besar dalam hidup.

TATKALA ramai individu masih lena, pempengaruh, Azida Ahmad Azmi sudah pun memulakan hari lebih awal.

Menjelang 2026, pelajar University of Oxford itu berkongsi beberapa tabiat harian ringkas yang disifatkannya sebagai titik perubahan besar dalam hidup bermula daripada ketenangan jiwa hinggalah kepada cara mengurus masa dan diri.

Menurut Azida, kejayaan bukan soal siapa paling cepat sampai, tetapi siapa yang berani memulakan langkah terlebih dahulu.

“Untuk jadi yang terawal dalam apa jua perkara, kita kena jadi orang yang sanggup mula dulu,” tulisnya.

BACA LAGI: Gara-gara tunang makan banyak, lelaki fail saman tuntut wang hantaran, perbelanjaan peribadi

BACA LAGI: Berikut perkara perlu dilakukan pesakit kronik ketika berdepan banjir, elak terputus bekalan ubat

Antara amalan yang paling memberi kesan adalah bangun sekitar pukul 4 pagi untuk bermuhasabah dan mendekatkan diri dengan Tuhan ketika suasana masih sunyi.

“Sejak Ramadan tahun ini, saya paksa diri bina rutin baharu. Ketenangan yang saya dapat memang di luar jangkaan. Menyesal pula tak buat dari dulu,” katanya.

Menurut penuntut Oxford ini sebagai introvert beliau memilih untuk berlari seawal pukul 4 atau 5 pagi demi ketenangan dan fokus.

Azida turut menyentuh isu penggunaan media sosial yang berlebihan.

Walaupun tidak menganggap platform digital sebagai sesuatu yang salah, beliau mengingatkan tentang masa yang sering terlepas tanpa disedari.

“Setiap satu jam di media sosial, sebenarnya kita boleh habiskan sekurang-kurangnya 10 muka surat sebuah buku,” jelasnya.

Mulakan hari dengan pergerakan

Bagi Azida, kesihatan fizikal dan mental tidak boleh dipisahkan. Beliau menggalakkan aktiviti berjalan atau bersukan sekurang-kurangnya 20 minit sebelum memulakan hari.

“Orang yang nak berjaya kena cuba jadi orang yang paling awal memulakan harinya,” katanya.

Sebagai seorang yang introvert, Azida memilih untuk berlari seawal pukul 4 atau 5 pagi demi ketenangan dan fokus.

Akhiri hari dengan membaca

Daripada menamatkan hari dengan menatal media sosial, Azida memilih untuk membaca sekurang-kurangnya lima muka surat setiap malam.

“Laburkan sedikit masa untuk membaca. Dunia perlukan lebih ramai orang yang berilmu, bukan sekadar sibuk menatal skrin,” ujarnya.

Jangan tunggu badan beri amaran

Dalam soal pemakanan, Azida mengakui dirinya bukanlah contoh sempurna. Namun, perubahan kecil seperti mengurangkan portion makanan, menambah sayur dan minum lebih air banyak membantu kesihatan jangka panjang.

“Saya masih makan apa yang saya suka, cuma saya kawal kuantitinya. Jangan tunggu badan ‘menjerit’ baru nak berubah,” katanya.

Kita dibentuk oleh perkara diterapkan dalam diri

Azida turut menekankan kepentingan ilmu dan pendedahan luar daripada minat sendiri.

“Kita bukan saja apa yang kita makan, tapi apa yang kita baca, dengar dan hadam setiap hari,” jelasnya.

Beliau mengamalkan tabiat membaca sekurang-kurangnya satu artikel global setiap hari bagi membina kesedaran, pemikiran kritikal dan keyakinan berkomunikasi.

Berani cuba walaupun tidak pandai

Antara nasihat paling jujur Azida ialah keberanian untuk mencuba perkara baharu walaupun berisiko gagal.

“Tak apa jadi teruk dulu. Setiap kegagalan pasti ada pelajaran. Untuk dapatkan pelajaran itu, kita kena mula,” katanya.

Kejayaan bermula dengan tabiat kecil

Perkongsian Azida Ezzy ini membuktikan bahawa kejayaan tidak semestinya bermula dengan perubahan drastik.

Kadangkala, ia bermula dengan keputusan kecil iaitu bangun lebih awal, membaca sedikit demi sedikit dan berani mencuba sesuatu yang asing.

Dan mungkin, itulah langkah paling realistik untuk melangkah lebih jauh menjelang 2026. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram