PENGGUNA di Korea Selatan kini dilihat semakin cenderung menguruskan rutin kecantikan secara peribadi dengan beralih daripada kunjungan ke salun kepada rawatan di rumah.
Anjakan paradigma itu jelas terbukti semasa jualan musim sejuk Ol-Young Sale anjuran Olive Young (30 November hingga 6 Disember 2025) yang memperlihatkan evolusi penjagaan diri daripada sekadar penggunaan topeng muka asas kepada ritual kecantikan DIY (buat sendiri) lebih menyeluruh.
Sektor penjagaan bulu mata muncul sebagai petunjuk utama kepada perubahan trend itu. Data menunjukkan carian bagi kata kunci perm bulu mata di laman peruncit dalam talian Olive Young melonjak sebanyak 967 peratus berbanding tahun lalu.
BACA LAGI: Suami halang 2 'transgender' masuk tandas wanita demi keselamatan isteri
BACA LAGI: Waspada punca kebakaran di rumah, ambil tahu langkah pencegahan serta tindakan kecemasan
Selain itu, permintaan bagi produk bulu mata palsu tanpa pelekat turut mencatatkan peningkatan drastik sebanyak 265 peratus.
Produk bulu mata jenis pelekat kendiri yang ringan daripada jenama seperti Coringco dan Fillimilli menjadi antara produk paling laris, manakala serum bulu mata merekodkan kenaikan jualan sebanyak 105 peratus.
Bagi memenuhi permintaan terhadap penggayaan bulu mata di rumah, pihak peruncit telah menyediakan bahagian eyelash bar di cawangan utama. Ruang itu membolehkan pelanggan mencuba pelbagai peralatan seperti pengeriting bulu mata haba dan bulu mata berkelompok sebelum membuat pembelian.
Format penjagaan kulit juga mengalami transformasi. Walaupun topeng muka kepingan masih popular, topeng muka jenis cuci berbuih (bubbling wash-off masks) menjadi kategori paling menonjol musim ini dengan lonjakan carian mencecah 1,448 peratus.
Trend itu mencerminkan keinginan pengguna terhadap produk yang memberikan kesan segera tanpa memerlukan bimbingan pakar profesional.
Selain itu, pengguna kini mula beralih kepada konsep kecantikan dalaman aktif melalui pengambilan suplemen yang mengandungi bahan-bahan sering digunakan oleh pakar dermatologi.
Suplemen musin yang mendapat inspirasi daripada populariti krim siput, mencatatkan peningkatan jualan luar biasa melebihi 140 kali ganda berbanding tempoh jualan musim sejuk tahun lalu.
Suplemen glutation dan retinol turut mendapat tempat di hati pengguna, di samping produk probiotik khusus untuk imuniti kulit, penjagaan mulut serta pengurusan berat badan.
Secara keseluruhannya, anjakan ini menunjukkan budaya penjagaan diri yang lebih sofistikated, didorong oleh faktor kemudahan, pengurusan bajet dan pengaruh tutorial dalam talian.
Bagi memanfaatkan momentum tersebut, Olive Young kini sedang menganjurkan acara pop-up sempena musim cuti di Hongdae dan Seongsu, Seoul. Acara ini mempamerkan produk-produk yang memenangi anugerah bagi 2025 melalui instalasi bermusim yang menarik. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
